AM

SULTAN NAZRIN BERANGKAT KE MAJLIS MAKAN MALAM GALA DIRAJA ST JOHN'S INSTITUTION 

20/10/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat ke Majlis Makan Malam Gala Diraja St John's Institution bersempena dengan ulang tahun ke-120 sekolah itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini malam ini.

Baginda yang merupakan pelajar di institusi pendidikan itu pada 1970 disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Pada majlis itu, Pengerusi Yayasan Kepimpinan Johannian Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata majlis gala itu melangkaui sambutan semata-mata yang merupakan sebahagian daripada misi lebih besar, bukan sahaja untuk memelihara legasi Institusi St John, tetapi juga melabur pada masa depannya.

"Program malam ini mencerminkan dua fokus terhadap warisan dan kemajuan. Kami akan menghargai sumbangan luar biasa daripada Johannian dahulu dan sekarang, mengiktiraf mereka yang menjunjung nilai sekolah dan mencapai kejayaan hebat dalam pelbagai bidang.

"Kami juga mengambil peluang ini untuk membincangkan perjalanan untuk St John, berkongsi beberapa perkembangan menarik bertujuan mengubah sekolah dan mengekalkannya di barisan hadapan pendidikan pada abad ke-21," katanya dalam ucapan.

Sementara itu, Abdul Azim berkata mereka sedang memulakan usaha baharu yang menarik – pembinaan perpustakaan digital tercanggih untuk St John's Institution.

"Perpustakaan digital baharu ini akan menjadi ruang moden sepenuhnya, dilengkapi dengan papan pintar, televisyen pintar dan komputer. Kami membayangkan ia sebagai hab untuk pelajar melakukan penyelidikan, kerjasama dalam projek dan meneroka idea baharu.

"Pembinaan perpustakaan digital ini akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap menjelang suku pertama 2025. Kami berharap perasmian kemudahan transformatif ini akan disempurnakan Sultan Nazrin, yang akan dinamakan pada perpustakaan itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan