AM

RERUAI KEMENTERIAN KOMUNIKASI TUMPUAN PENGUNJUNG PROGRAM MADANI RAKYAT

20/10/2024 12:30 PM

KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Reruai Kementerian Komunikasi menjadi tumpuan pengunjung sempena Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah, yang diadakan selama tiga hari berakhir hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini.

Reruai itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pemainan trivia serta spin and win oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama); MyFoto, DBook dan kuiz interatif oleh Jabatan Penerangan, permainan Kahoot dan kuiz oleh MCMC; tayangan promosi filem dan bertemu selebriti oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dan RTMClick serta video ‘Biar Betul’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pelajar universiti Nurriz Azwaayin Raiezam, 21, berkata beliau dan rakannya tidak mahu melepaskan peluang menyertai aktiviti yang dianjurkan di reruai Kementerian Komunikasi, selepas melihat ramai pengunjung berkumpul di hadapan reruai kementerian berkenaan.

“Kami rasa sangat teruja sebab ini kali pertama datang program MADANI, rasa seronok sangat dapat hadiah lepas main spin and win Bernama,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Manakala rakannya Nur Syahira Jaimis, 19, yang juga seorang pelajar universiti turut merasa gembira apabila dapat bertemu selebriti pelakon Dayang Areeda dan Fikhree Bakar, yang turut serta memeriahkan reruai kementerian berkenaan.

“Rasa sangat gembira sebab dapat bergambar dengan artis dan dalam masa yang sama dapat berkenalan atau mengetahui agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi,” katanya.

Dalam pada itu Dayang Areeda pelakon kelahiran Sabah itu, tidak menyangka kehadiran pengunjung ke reruai tersebut amat memberansangkan dan merasa bertuah apabila dipilih untuk memeriahkan program tersebut.

“Saya rasa sangat bertuah untuk datang ke sini hari ini dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan, sebab orang ramai juga dapat input yang berguna daripada program PMR 2024 ini,” katanya yang pernah membintangi beberapa filem dan drama antaranya Penanggal Mak Kiah dan Andai Itu Takdirnya.

Seorang petugas Kementerian Komunikasi Hirdawati Kasim, 37, berkata masih ramai pengunjung yang tidak tahu mengenai fungsi atau peranan agensi kerajaan yang ada, justeru Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah dapat membantu memperkenalkan perkara tersebut kepada masyarakat.

“Selain dapat membina hubungan baik dengan pengunjung, pihak agensi kerajaan juga dapat meningkatkan lagi kesedaran serta keberkesanan peranan mereka dalam kalangan masyarakat, khususnya di negeri Sabah ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan