AM

PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 PLATFORM USAHAWAN OKU SABAH KETENGAH PRODUK JUALAN

20/10/2024 07:12 PM

KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah menjadi platform kepada seorang usahawan orang kurang upaya (OKU) di sini mengetengahkan produk perniagaannya sendiri, sehingga mampu mencapai keuntungan dua kali ganda.

Mohd Jan Jamnu, 40, usahawan OKU yang mengusahakan produk makanan dibuatnya sendiri antaranya sambal berkata program seperti itu, patut lebih banyak diadakan di negeri ini berikutan kurangnya pendedahan masyarakat mengenai perkara ini, sehingga mengurangkan peluang pengusaha OKU memperkenalkan produk masing-masing.

“Tidak ramai masyarakat tahu mengenai keunikan dan potensi usahawan OKU, justeru program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha seperti kami meningkatkan hasil jualan sehingga dua kali ganda,” katanya yang menggunakan kaki palsu kepada Bernama.

Mohd Jan berkata beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerana telah banyak membantu beliau dan isteri mengusahakan produk makanan sejak tahun 2020.

“Saya mula berniaga nasi lemak dan kuih-muih pada tahun 2016, namun pada tahun 2019 saya ditemui pihak Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), yang mengalakkan saya untuk berjualan di sebuah program jualan di daerah Likas,” katanya.

Mengenai Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang telah berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir pada hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas, Mohd Jan bersama isteri tidak mahu melepaskan peluang mempromosikan produk makanan sambal yang mereka usahakan.

“Alhamdulillah selama tiga hari penganjuran program ini, tidak dinafikan ada peningkatan yang ketara kira-kira dua kali ganda daripada segi jualan berbanding hari-hari biasa,” katanya.

Beliau turut berkata produk sambal yang diusahakan dengan menggunakan jenama sendiri 'Bang Muq' yang terdiri daripada pelbagai jenis sambal seperti ikan masin, tuhau dan sotong mendapat sokongan yang tinggi daripada pengunjung yang hadir ke program tersebut.

“Untuk itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kerajaan Madani, kerana banyak membantu kami sebagai pengusaha OKU mengetengahkan jualan kami kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan