AM

CADANGAN SYARIKAT MALAYSIA ANTARA DIPILIH KE SEPARUH AKHIR PERTANDINGAN KELESTARIAN GLOBAL TAIWAN

20/10/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Cadangan daripada syarikat Malaysia berjaya dipilih ke peringkat separuh akhir pertandingan global Taiwan Excellence ‘Go Green With Taiwan’, bersama-sama 16 penyertaan lain.

Taiwan Excellence dalam kenyataan memaklumkan Eco Lestari Strategy, sebuah syarikat yang mendukung inisiatif kesedaran alam sekitar meraih tempat menerusi cadangan bertajuk ‘Green Footsteps - Community Running Program and Circular Economy Footwear Initiative,’.

“… (cadangan) bermatlamat menggabungkan teknologi inovatif Taiwan dengan amalan industri hijau bagi menggalakkan ekonomi kitaran dan pengurusan sisa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pertandingan terbabit menarik penyertaan cadangan dari seluruh dunia dengan yang layak ke separuh akhir antaranya dari Kenya, Kanada, United Kingdom, Luxembourg, Hungary, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu, India, Vietnam, Filipina dan Singapura.

Dianjurkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan dikelolakan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), pertandingan itu bertujuan memanfaatkan teknologi hijau Taiwan untuk memupuk pembangunan global yang mampan.

“Bermula dari 19 Jun hingga 31 Ogos, sebanyak 396 cadangan telah diterima dari 45 negara. Vietnam, India, Filipina, Poland, Thailand, Malaysia, United Kingdom dan Indonesia antara penyumbang utama,” menurut Taiwan Excellence.

Enam cadangan terbaik akan diumum pada awal November ini dengan semua perbelanjaan finalis ke Taiwan akan ditanggung bagi membentangkan cadangan mereka.

Pertandingan akhir akan berlangsung pada 10 Dis dengan tiga cadangan terbaik akan dipilih. Setiap pemenang akan menerima hadiah wang US$20,000 dan keputusan akan diumum pada 11 Dis.

Maklumat lanjut mengenai “Go Green With Taiwan”, layari laman web https://gogreen.taiwanexcellence.org/

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan