AM

PROJEK ECRL KELANTAN CATAT KEMAJUAN LEBIH 80 PERATUS, DAHULUI NEGERI PANTAI TIMUR LAIN

20/10/2024 03:32 PM

KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 48.86 kilometer di Kelantan telah mencapai kemajuan sebanyak 83.27 peratus setakat September lepas, menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan Nik Soh Yaacoub.

Beliau berkata semua kerja pembinaan berjalan lancar mengikut jadual, dan Kelantan kini mendahului dua negeri Pantai Timur lain dari segi perkembangan projek.

“Pembinaan stesen ECRL di Kota Bharu, contohnya, telah mencapai kemajuan 45.48 peratus, melebihi sasaran asal 44.4 peratus. Walau bagaimanapun, stesen di Pasir Puteh mengalami sedikit kelewatan disebabkan faktor persekitaran.

“Bagaimanapun, keseluruhan projek ECRL dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025, dan rakyat Kelantan dijangka boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk ke Kuala Lumpur pada 2027, katanya dalam sidang media sempena Lawatan Teknikal JKR Kelantan ke Projek ECRL di Bandar Baru Tunjong, di sini, hari ini.

Kemajuan projek ini, katanya, adalah hasil kerjasama baik antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Menurutnya kedatangan monsun timur laut yang dijangka bermula bulan depan tidak akan menjejaskan operasi pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana kebanyakan kerja pembinaan struktur telah siap.

Beliau berkata ECRL bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan sebagai kemudahan pengangkutan, tetapi juga berpotensi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Pembinaan ECRL di Kelantan melibatkan dua stesen utama, iaitu stesen di Kota Bharu yang dikhaskan untuk penumpang, dan stesen di Cherang Tuli, Pasir Puteh yang akan digunakan untuk penumpang dan kargo.

Laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan melibatkan empat jajahan utama, iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, dan Machang.

Projek sepanjang 665 kilometer ini, yang melibatkan kos sebanyak RM50.27 bilion, dijangka menjadi pemangkin utama kepada sistem pengangkutan di Pantai Timur.

Dengan ECRL, perjalanan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak akan hanya memakan masa empat jam, jauh lebih pantas berbanding tujuh jam jika menggunakan jalan raya, atau lebih daripada 12 jam semasa musim perayaan.

Laluan ini dijangka memberi impak positif yang besar kepada mobiliti rakyat dan juga perkembangan ekonomi di kawasan terlibat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan