AM

PENGELASAN PENDAPATAN RAKYAT TIDAK LAGI HANYA AMBIL KIRA PENDAPATAN KASAR ISI RUMAH - RAFIZI

20/10/2024 03:22 PM

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Pengelasan pendapatan rakyat selepas ini tidak lagi akan dibuat berdasarkan pendapatan kasar isi rumah semata-mata, tetapi akan mengambil kira pelbagai faktor agar ia lebih adil. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kaedah baharu yang sedang diteliti kerajaan untuk pengelasan pendapatan, antara lain akan mengambil kira pendapatan bersih isi rumah agar menjamin rakyat dapat menjalani hidup yang wajar. 

“Saya boleh sahkan bahawa ia (kaedah pengelasan baharu) bukanlah menggunakan pendapatan isi rumah kasar semata-mata. Proses untuk kita menambah baik berdasarkan pendapatan isi rumah bersih sedang berjalan.

“Ia akan mengambil kira banyak faktor-faktor lain juga. Sebaik kita putuskan perkara itu, baru kita boleh tetapkan garis stastistik (kumpulan populasi) seperti B40 dan T15,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Prapelancaran Laman Statistik di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai penyarasan subsidi petrol RON95, Rafizi berkata ia akan dilaksanakan dengan kaedah harga dua peringkat dengan hanya mereka yang tidak layak menerima subsidi iaitu kumpulan dengan pendapatan 15 peratus teratas, perlu membayar harga pasaran di pam minyak.

Rafizi berkata 85 peratus rakyat akan terus boleh membeli bahan api itu pada harga bersubsidi, apabila penyasaran tersebut dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun sedang meneliti mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara berkenaan dilaksanakan,

“Yang tidak layak mendapat subsidi itu yang disebut T15. Siapa sebenarnya T15, ini yang kita sedang proses nak tentukan.

“Tetapi untuk rakyat lain, kita ada kira-kira 30 juta orang, mekanismenya itu yang sekarang ini sedang dibincangkan dan diperhalusi untuk pelaksanaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada Jumaat berkata, kerajaan memberi jaminan akan mempertahan kepentingan rakyat terbanyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi.

Anwar berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan penjimatan yang dicapai daripadanya akan dimanfaat untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan