AM

SAMBUTAN LUAR BIASA PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 SAYANGI SABAH - ARMIZAN

20/10/2024 04:49 PM

KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang diadakan selama tiga hari di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah pengunjung program yang berakhir hari ini mencecah 350,000 orang setakat 10 pagi tadi dan jumlah itu dijangka melonjak menjelang penutupan program berkenaan.

Beliau berkata maklum balas rakyat itu penting bagi membolehkan kerajaan menambah baik perkhidmatan jabatan serta agensi terlibat, terutama dalam membawa semua perkhidmatan kerajaan dalam satu tempat dengan konsep one stop centre.

“Saya juga turun hari ini berjumpa pempamer, petugas dan pengunjung mendengar sendiri maklum balas daripada masyarakat kita. Selain jabatan serta agensi kerajaan juga dapat berinteraksi kerana maklum balas daripada masyarakat itu penting untuk kita tambah baik perkhidmatan.

“Penting juga sampaikan mesej penerangan dan program kerajaan bagi dapatkan maklum balas bagaimana tambah baik program-program terlibat, macam mana kerajaan tambah baik pelaksanaan dan nilainya itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat program berkenaan.

Armizan berkata program berkenaan mungkin akan diperluaskan ke negeri dan kawasan tidak tersenarai pada tahun ini bagi membolehkan kesan Program MADANI Rakyat dinikmati oleh rakyat di seluruh negara.

“Contohnya di Zon Sabah tahun ini, penganjuran diadakan di Kota Kinabalu. Tahun depan mungkin bandar lain seperti Tawau dan Sandakan boleh dipertimbangkan untuk penganjuran progran ini,” katanya.

Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini, selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.

Bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju, serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, mengulas mengenai Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Armizan berkata inisiatif itu juga memerlukan kerjasama daripada rakyat untuk direalisasikan dengan baik.

“Ia melibatkan pelbagai agensi seperti penguatkuasaan di sempadan bagi mencegah ketirisan dan sebagainya tetapi rakyat amat diperlukan sebagai mata dan telinga untuk membuat aduan mengenai salah laku ketirisan ini,” katanya.

Beliau berkata GEMPUR memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan memastikan bantuan terutama subsidi sampai kepada golongan disasarkan dan tidak bocor kepada mereka yang mahu mengambil kesempatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan