AM

KEBEBASAN BERSUARA AHLI AKADEMIK TETAP DIPERTAHAN - ZAMBRY

21/10/2024 12:21 PM

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Kebebasan bersuara golongan ahli akademik tetap akan dipertahankan selagi ia berasaskan kepada fakta yang tepat, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata beliau tidak mahu melihat wujud sebarang tindakan untuk mengekang hak dan kebebasan ahli akademik dalam mana-mana universiti.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kebebasan akademik (kebebasan bersuara) di universiti tetap dipertahankan dan saya tidak mahu ada sebarang langkah yang dibuat yang cuba mengekang (kebebasan bersuara)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia di sini hari ini.

Zambry berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.

Menerusi satu kenyataan pada 18 Okt, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Sementara itu, Zambry berkata setiap pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak berwajib juga perlu melihat kepada konteks dan ekosistem di sesebuah universiti.

"Saya faham apa yang disuarakan oleh beberapa pihak iaitu keprihatinan mereka akibat surat pekeliling dalaman yang dikeluarkan oleh pihak UKM yang memberi peringatan kepada petugasnya.

“... tetapi seperti saya sebutkan bahawa setiap pekeliling yang nak dikeluarkan sama ada daripada pihak KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) dan sebagainya perlu melihat ke dalam konteks universiti berkenaan," katanya.

Zambry dalam pada itu turut mengingatkan ahli akademik supaya menyampaikan pandangan mereka berasaskan kepada bidang dan disiplin ilmu masing-masing dengan menyertakan fakta, penyelidikan dan berasaskan bukti.

Ditanya sama ada wujud keperluan untuk meminda Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020, Zambry berkata perkara itu memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan berkaitan diambil.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan