EKONOMI

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN KEKURANGAN MINAT BELIAN

21/10/2024 07:13 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) --  Bursa Malaysia ditutup rendah dan diniagakan dalam dagangan terhad hari ini berikutan kekurangan minat belian ketika para pelabur mencerna butiran terperinci Belanjawan 2025, kata seorang penganalisis.

Meskipun penurunan keseluruhan, terdapat sektor tertentu yang mencatatkan kenaikan ketara, terutamanya teknologi, pengangkutan dan logistik, dan produk perindustrian, seperti yang dilihat dalam Indeks Sektor Bursa Malaysia.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.31 mata, atau 0.02 peratus kepada 1,645.68 daripada paras penutup 1,645.99 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.72 mata kepada 1,646.71 dan bergerak antara paras 1,642.52 dan 1,648.05 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 645 berbanding 395, dengan 519 kaunter tidak berubah, 922 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.02 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 2.52 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sektor hartanah mencatatkan penurunan utama apabila para pelabur kecewa dengan ketiadaan sebarang pengumuman projek utama dalam Belanjawan 2025.

“Bagaimanapun, penurunan itu berkemungkinan sementara sahaja, memandangkan terdapatnya langkah seperti pelepasan cukai bagi pembeli rumah kali pertama, kenaikan gaji minimum, dan jaminan RM12.8 bilion untuk menyokong lebih 57,000 pembeli rumah kali pertama.

"Peruntukan ini dijangka merangsang pasaran hartanah, iaitu meningkatkan kuasa beli dan kemampuan membeli rumah dalam jangka sederhana," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran tempatan itu sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau lain yang ditutup rendah berikutan pendekatan berhati-hati pelabur.

Ini berikutan pengumuman beberapa laporan pendapatan utama Amerika Syarikat (AS) dan Asia yang akan datang dan kurangnya kejelasan hala tuju kadar faedah daripada ekonomi utama, katanya.  

“Di pasaran tempatan, indeks petunjuk pasaran dijangka terus diniagakan tidak berubah, dipengaruhi oleh ketidaktentuan global dan risiko geopolitik," katanya.

Oleh itu, Thong menjangkakan FBM KLCI kekal tidak berubah dengan kecenderungan meningkat kepada jajaran 1,640-,660 bagi minggu ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah, masing-masing pada RM10.66 dan RM4.57.

Sementara itu, CIMB Group meningkat lima sen kepada RM8.20, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM7.20 dan Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM14.64.

Dalam kalangan kaunter cergas, Cape EMS susut setengah sen kepada 32.5 sen, KHPT Holdings naik tiga sen kepada 21 sen, Alpha IVF meningkat setengah sen kepada 36.5 sen, Globetronics Technology menokok 4.5 sen kepada 66 sen dan MY E.G. Services turun dua sen kepada 89 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.94 mata kepada 12,368.47, Indeks FBMT 100 menokok 3.69 mata kepada 12,071.26 dan Indeks FBM 70 menambah 27.31 mata kepada 17,742.94.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah susut 1.31 mata kepada 12,275.64 dan Indeks FBM ACE turun 11.86 mata kepada 5,108.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 8.64 mata kepada 19,477.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.68 mata kepada 177.10 dan Indeks Tenaga meningkat 6.55 mata kepada 861.08. Bagaimanapun Indeks Perladangan turun 32.36 mata kepada 7,241.17.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.39 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 1.19 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.11 bilion unit bernilai RM171.12 juta berbanding 867.56 juta unit bernilai RM147.50 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 512.60 juta unit bernilai RM173.23 juta berbanding 452.73 juta unit bernilai RM154.12 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 209.16 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (376.73 juta), pembinaan (112.72 juta), teknologi (253.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.27 juta), hartanah (174.95 juta), perladangan (17.51 ​​juta), REIT (16.50 juta), dana tertutup (333,900), tenaga (52.16 juta), penjagaan kesihatan (35.93 juta), telekomunikasi dan media (19.87 juta), pengangkutan dan logistik (20.06 juta).), utiliti (31.85 juta), dan amanah perniagaan (20,500).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan