AM

HARI PERTAMA PERBAHASAN BELANJAWAN 2025, AHLI PARLIMEN BANGKITKAN PELBAGAI ISU

21/10/2024 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Hari pertama perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen membangkitkan pelbagai isu antaranya berkaitan skim kewangan, keselamatan siber dan pendidikan.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) meminta kerajaan merangka suatu dasar kawalan lebih komprehensif bagi mengawal selia penyedia perkhidmatan kewangan dalam talian yang menawarkan skim Buy Now, Pay Later (BNPL). 

Beliau berkata dasar itu diperlukan kerana nilai hutang BNPL dalam kalangan anak muda meningkat kepada RM1.42 bilion melibatkan 3.7 juta pemegang akaun berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun berdasarkan data terbaharu Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB).

“Generasi muda berisiko terjerumus ke dalam kancah hutang isi rumah yang lebih tinggi akibat kecenderungan menggunakan kemudahan skim BNPL ini. Tidak seperti kad kredit dan pinjaman peribadi, BNPL selalunya tidak memerlukan semakan kredit yang mendalam.

“Daya tarikan model BNPL terletak pada fleksibiliti dan kebolehcapaian, menarik kepada spektrum pengguna yang luas terutama mereka yang tergolong dalam Generasi Milenium dan Generasi Z, yang banyak terdedah kepada pembelian dalam talian,” katanya. 

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pula menyifatkan peruntukan RM10 juta kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menambah 100 lagi perjawatan sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan keselamatan siber negara.

Menteri Besar Selangor itu berkata peruntukan berkenaan signifikan dengan masa depan negara yang akan memasuki ambang dunia kecerdasan buatan (AI) dan dijangka memberi pelbagai kesan kepada tingkah laku manusia. 

“Lebih-Lebih lagi dalam AI yang akan memberi kesan kepada kejituan ataupun ketulenan sesuatu perkara. Bayangkan kalau soal-soal seperti pembuatan tesis dalam peperiksaan ataupun nilai bagi ilmu dan pengetahuan dalam sistem sekolah, semua sistem nilai ini akan hancur kalau kita tidak ada kawalan.

“Ini bukan bererti kita nak tutup media sosial atau kita kena kawal atau tutup AI tetapi perlu ada garis etika dengan menyedari bahaya seperti ini… kalau tidak dikawal dengan baik, ia akan menjadi kongkongan kepada masyarakat dan rakyat negara kita,” katanya.

Ahli Parlimen dari Sarawak Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) pula membangkitkan soal pendidikan termasuk isu kekosongan dan kekurangan guru yang masih kritikal di negeri itu khususnya bagi sekolah di kawasan pedalaman serta isu perjawatan guru besar dan pengetua.

Beliau berkata setakat 30 Sept lepas, jumlah kekosongan guru di Sarawak ialah 2,229 melibatkan 1,906 di sekolah rendah dan 323 di sekolah menengah manakala dalam tempoh sama, 109 sekolah rendah masih tiada guru besar dan 75 sekolah menengah tiada pengetua.

“Masalah kekosongan jawatan guru besar dan pengetua di Sarawak ini adalah isu yang signifikan dan berpotensi menjejaskan pengurusan sekolah serta prestasi para pelajar kerana tiada pemantauan dan bimbingan yang berkesan untuk para guru dan murid,” katanya.

Ahmad Johnie turut membangkitkan isu mengenai kadar elaun pengetua dan guru besar sekolah di Sarawak yang tidak setimpal atau setara dengan tanggungjawab tambahan.

Justeru itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula kadar bayaran elaun tersebut.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan