AM

JOHARI KETUAI DELEGASI PARLIMEN MALAYSIA KE VIETNAM ESOK

21/10/2024 10:52 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

VIENTIANE, 21 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Vietnam mulai esok.

Bercakap kepada Bernama, Johari memaklumkan lawatan rasmi yang dijadualkan berakhir pada Jumaat itu adalah atas jemputan daripada rakan sejawatannya Tran Thanh Man.

“Insya-Allah kita akan membincangkan beberapa isu yang tertunggak dan diharapkan ini akan memberi kelebihan buat kita berjumpa dengan kepimpinan mereka menyelesaikan isu (tertunggak),” katanya.

Lawatan Johari ke Vietnam akan diiringi delegasi Parlimen Malaysia yang menghadiri Perhimpunan Agung AIPA ke-45 di Vientiane.  

Perhimpunan Agung AIPA selama empat hari yang berakhir hari ini menyaksikan Johari menerima tugas sebagai Presiden AIPA yang ke-46 bagi 2025 daripada Laos.

Simbolik serahan tugas itu dibuat oleh Presiden Dewan Rakyat Laos merangkap Presiden AIPA ke-45 Xaysomphone Phomvihane kepada Johari pada Majlis Penutup Perhimpunan Agung AIPA yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan