AM

PELAN TINDAKAN MODEL PEMBANGUNAN BELIA MADANI DIJANGKA SIAP SUKU PERTAMA 2025

22/10/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan pelan tindakan untuk melaksanakan strategi dan inisiatif yang terkandung dalam Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM2030).

KBS, menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, memaklumkan bahawa pembangunan pelan tindakan ini sedang melalui peringkat perbincangan oleh Kumpulan Kerja Teknikal yang melibatkan kementerian dan agensi, kerajaan negeri, media, institusi pendidikan, badan penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan belia, dan badan korporat.

“Pelan tindakan ini dijangka siap pada suku pertama 2025 dan pelaksanaannya kelak mengambil kira isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh belia antaranya pengangguran, peluang pekerjaan, ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan jurang digital.

“Pelaksanaan strategi dan inisiatif pelan tindakan ini turut melibatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi kerajaan masing-masing melalui pendekatan whole of government berdasarkan peranan membangun dan memperkasakan belia turut dilaksanakan oleh pelbagai pihak terutamanya kementerian dan agensi,” menurut KBS. 

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai perkembangan pelaksanaan MPBM 2030, khususnya dalam menghadapi senario semasa belia seperti isu pemilikan rumah belia, kadar kemiskinan, pendapatan belia, persekolahan dan kesihatan mental.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa isu belia adalah isu rentas kementerian dan agensi, di mana banyak inisiatif memberikan manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada golongan belia di bawah seliaan kementerian dan agensi tersebut.

Untuk memudahkan penyelarasan isu dan inisiatif berkaitan belia, KBS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Selain penyelarasan, mesyuarat yang turut melibatkan semua ahli Jemaah Menteri ini turut membincangkan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan secara bersama bagi meningkatkan kualiti hidup generasi belia,” menurut KBS.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan