AM

KKM AKAN SIASAT LAPORAN ANGGUR SHINE MUSCAT THAILAND ADA RACUN PEROSAK BERLEBIHAN

29/10/2024 01:09 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum berhubung laporan The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) serta beberapa media tempatan berkaitan anggur Shine Muscat yang mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).

KKM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan keselamatan makanan termasuk makanan import berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Katanya di Malaysia residu racun perosak dikawal di bawah Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang turut merujuk kepada standard antarabangsa Codex.

"Berdasarkan data KKM, sepanjang tempoh 2020 sehingga September 2024, sejumlah 5,561 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan import telah dianalisis bagi residu racun perosak dan sejumlah 165 (2.97 peratus) sampel telah didapati tidak mematuhi MRL.

“PKKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sayur-sayuran dan buah-buahan import yang tidak mematuhi MRL termasuk arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, re-eksport atau pendakwaan kes,” menurut KKM.

Menurut kenyataan itu bagi buah anggur pula, sejumlah 234 sampel anggur telah dianalisa dalam tempoh tersebut (2020-September 2024)  di mana 4 (1.71 peratus) telah dikesan tidak mematuhi MRL dan ia tidak melibatkan anggur Shine Muscat.

“Tindakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) pada kemasukan seterusnya dikenakan, di mana konsainan makanan tersebut wajib ditahan dan pensampelan perlu dijalankan.

“Dalam hal ini, kelulusan pelepasan di pintu masuk hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi MRL yang ditetapkan.

“Larangan pengimportan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran yang berulang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan