EKONOMI

EKSPORT OLEOKIMIA SAWIT KE CHINA MENINGKAT 1.4 KALI GANDA DALAM TEMPOH SEDEKAD - JOHARI

22/10/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Eksport oleokimia berasaskan sawit Malaysia ke China meningkat 1.4 kali ganda dalam tempoh sedekad kepada 604,208 tan pada 2023 daripada 434,333 tan pada 2014, dengan nilai perdagangan mencecah RM2.82 bilion.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata minyak sawit Malaysia, khususnya oleokimia berasaskan sawit merupakan komponen utama dalam industri surfaktan di China.

Menurutnya, penggiat industri tersebut mahu meneroka peluang kerjasama perdagangan dalam penggunaan oleokimia berasaskan sawit bagi pengeluaran detergen sejajar usaha transformasi negara itu ke arah industri hijau. 

Sehubungan itu, Johari berkata Malaysia terus komited untuk memastikan pengeluaran minyak sawitnya secara mampan hanya melalui Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

"Pelaksanaan MSPO minyak sawit Malaysia juga sejajar dengan inisiatif bahan kimia hijau oleh Kerajaan China, terutama dari aspek penghasilan surfaktan yang mampan untuk pasaran di China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian kepada 11 pengeluar surfaktan utama dari China yang mengunjungi kementeriannya.

Delegasi dari China itu sedang dalam lawatan selama seminggu untuk mendalami industri sawit mampan Malaysia serta meneroka potensi meningkatkan kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.

Delegasi itu akan mengikuti program Palm Oil Trade and Investment Initiative 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan