AM

UTP PELAWA ORANG RAMAI SERTAI CONVOFEST SEMPENA KONVOKESYEN KE-24

24/10/2024 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mempelawa orang ramai untuk menyertai ConvoFest yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt bagi memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen ke-24 universiti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, UTP memaklumkan ConvoFest itu akan menampilkan pelbagai aktiviti sukan, permainan, bazar, festival Islam serta festival budaya tempatan dan antarabangsa selain persembahan artis tempatan.

Majlis konvokesyen pada 27 dan 28 Okt itu akan melibatkan 1,367 graduan terdiri 1,028 pelajar sarjana muda dan 339 lepasan ijazah.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur konvokesyen tahun ini Shamsina Shaharun berkata ConvoFest merupakan peluang istimewa untuk meraikan bersama-sama komuniti sekitar universiti sambil menzahirkan semangat perpaduan dan menghargai pencapaian.

"Majlis konvokesyen melambangkan pencapaian hasil usaha gigih dan dedikasi bukan sahaja untuk graduan kami tetapi seluruh komuniti UTP. Kami mempelawa semua untuk bersama-sama menyertai kami dalam acara istimewa ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, Canselor UTP Tan Sri (Dr) Mohd Hassan Marican akan menyempurnakan majlis konvokesyen dan menyampaikan skrol kepada graduan.

Tetamu kehormat lain termasuk Pro Canselor UTP Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Pengerusi Petronas Tan Sri Datuk Seri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UTP Farehana Hanapiah, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan ahli Lembaga Pengarah UTP.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan