AM

MPKP LANCAR 'SMART KUBANG PASU' PACU AGENDA PEMBANGUNAN BANDAR PINTAR

24/10/2024 04:23 PM

JITRA, 24 Okt (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) hari ini melancarkan sistem letak kereta pintar berteknologi terkini bagi memacu agenda pembangunan bandar pintar di daerah berkenaan.

Sistem dikenali sebagai 'Smart Kubang Pasu' itu akan dibangunkan oleh HeiTech Padu Berhad (HeiTech), bertujuan merevolusikan pengurusan dan sistem kutipan bayaran parkir dengan memanfaatkan gabungan Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi Pengkomputeran Awan dengan sistem navigasi dan sistem pembayaran dalam talian.  

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata sistem itu akan dibangunkan secara konsesi selama 10 tahun hingga 2034.

 “Saya melihat sistem ini sebagai satu pencapaian penting kepada HeiTech dan MPKP kerana ia mencerminkan aspirasi dan komitmen kedua-dua pihak terhadap pembangunan bandar pintar mampan yang berteraskan inovasi, teknologi terkini dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Smart Kubang Pasu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua MPKP Badrulhisham Sulaiman.

Salmi Nadia berkata HeiTech berbesar hati atas kepercayaan diberikan MPKP untuk melaksanakan sistem itu dan berdasarkan kepakaran serta pengalaman daripada projek-projek sebelum ini, pihaknya percaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik mengikut jangkaan serta keperluan pihak MPKP.

“Penyelesaian tempat letak kereta pintar seperti Smart Kubang Pasu adalah sebahagian daripada sumbangan HeiTech kepada Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia sejajar misi HeiTech untuk membantu pihak berkuasa tempatan membangunkan bandar pintar," katanya.

Beliau berkata penyelesaian tempat letak kereta atau Park Smart Plus (PS+) yang ditawarkan HeiTech mempunyai kelebihan tersendiri yang berbeza dengan penyelesaian lain di pasaran.  

"Antara kelebihan PS+ termasuk penggunaan teknologi terkini seperti sensor dan sistem penjejakan global (GPS) yang memberikan panduan kepada pemandu untuk ke tempat letak kereta tersedia berdasarkan maklumat masa nyata dalam aplikasi mudah alih sama ada melalui telefon bimbit atau sistem infotainment (maklumat hibur) di kenderaan masing-masing.  

"Apabila beroperasi sepenuhnya, inisiatif transformasi digital ini akan memanfaatkan MPKP antaranya pengurusan tempat letak kereta lebih cekap dengan mengoptimumkan penggunaan petak letak kereta, jimatkan masa, kurangkan kesesakan lalu lintas, meminimumkan pelepasan karbon sekali gus membantu ke arah persekitaran lebih sihat," katanya

Salmi Nadia berkata sistem itu juga akan memainkan peranan dalam meningkatkan hasil dengan pengurusan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan.

Sementara itu, Badrulhisham berkata Smart Kubang Pasu merupakan suatu titik perubahan sistem konvensional yang diguna pakai selama ini ke arah penggunaan sistem berteknologi, khususnya dalam pengurusan tempat letak kereta awam di daerah itu.  

“Pelaksanaan Smart Kubang Pasu selari dengan agenda MPKP untuk mewujudkan bandar pintar yang akan menjadi nilai tambah kepada kesejahteraan warga Kubang Pasu," katanya.  

Beliau berkata penggunaan Smart Kubang Pasu juga dapat menyokong kepada pemurnian bandar rendah karbon kerana sistem itu dapat membantu mengurangkan jangka masa penggunaan petrol dan diesel.

"Aplikasi Smart Kubang Pasu dilengkapi dengan maklumat ketersediaan petak-petak parkir yang boleh digunakan kepada pengguna dan ia akan menjimatkan masa pengguna untuk mendapatkan petak-petak parkir ini

“MPKP menyasarkan akan melaksanakan Smart Kubang Pasu sepenuhnya menjelang awal 2025 dan pengguna disarankan untuk memuat turun aplikasi Smart Kubang Pasu ini bagi memudahkan urusan masing-masing kelak,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan