AM

TENGKU MUHAMMAD, TENGKU NATASYA SELAMAT DIIJABKABULKAN

24/10/2024 10:33 PM

KUANTAN, 24 Okt (Bernama) -- Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan pasangan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diijabkabulkan pada 8.50 malam ini dalam istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengenakan persalinan berona hijau bersama paduka-paduka anakanda.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, paduka kakanda dan adinda Tengku Muhammad serta kerabat diraja Pahang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pasangan sama cantik sama padan yang mengenakan busana berwarna putih itu, dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sejurus selesai akad nikah, pengantin lelaki diiringi untuk menunaikan solat sunat sebelum majlis diteruskan dengan penyerahan mas kahwin iaitu senaskhah al-Quran kepada Tengku Natasya Puteri yang duduk di atas pelamin.

Istiadat kemudian diteruskan dengan Majlis Menyarung Cincin perkahwinan oleh kedua-dua pasangan mempelai sebelum istiadat merenjis yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disusuli Tengku Hassanal.

Ibu bapa pengantin perempuan Tengku Adnan dan isteri Datin Seri Anggraini Sentiyaki turut merenjis pasangan mempelai.

Ketika istiadat berlangsung, Tunku Azizah kelihatan sebak sebelum memeluk erat putera kesayangan sejurus selesai merenjis. 

Istiadat perkahwinan diraja akan diteruskan dengan Istiadat Berinai esok dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini.

Kedua-dua istiadat dijadual pada 8 malam dan disiarkan secara langsung menerusi dua layar besar di  Padang Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan sebuah di Dataran Muzium Diraja, Pekan.

Tinjauan Bernama di Padang MBK 1 hari ini mendapati orang ramai memenuhi kawasan berkenaan pada 8 malam untuk mengikuti secara rapat istiadat perkahwinan selain merakam video kenang-kenangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan