AM

SENI ARCA FLORA JADI 'TALIAN HAYAT' UNTUK AZMI

25/10/2024 12:31 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 25 Okt (Bernama) -- Berstatus orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan yang dialami pada tahun 2000, tidak mematahkan semangat Azmi Tahar untuk menafkahi keluarganya dengan mengusahakan seni arca flora atau ‘sculpture painting’ bagi meraih pendapatan. 

Azmi, 50, yang berkerusi roda kerana kecederaan saraf tunjang dialaminya berkata kraf arca flora yang diusahakan bersama isteri Shalily Sajad, 51, itu menjadi ‘talian hayat’ untuk diri dan keluarganya empat tahun selepas bergelar OKU.

“Pada awalnya kami mengusahakan kraf tangan bersumberkan tempurung kelapa seperti tabung, rantai, subang dan pasu namun tidak bertahan lama kerana memerlukan tenaga yang banyak untuk melicin dan memotongnya biarpun kosnya rendah. 

“Kami memutuskan beralih angin dengan menghasilkan arca flora ini kerana isteri mempunyai kemahiran dan berkelulusan dalam bidang seni grafik," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program sempena Promosi Kraf Malaysia di sini semalam.

Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak berusia antara 30 dan 27 tahun itu berkata pembuatan arca flora juga lebih santai dan sesuai dengan keadaan dirinya yang bergantung kepada kerusi roda hampir setiap masa.

Azmi berkata dari segi pemprosesan arca, langkah pertama adalah membuat tapak menggunakan plaster khas sebelum diwarna dan dikeringkan dalam tempoh sehari atau dua hari bergantung kepada cuaca bagi memastikannya benar-benar kering.

“Selepas tapak siap, arca bermotifkan flora seperti bunga mawar dan tulip dibentuk kemudian diletakkan pada tapak yang disediakan seperti jam dinding, bingkai gambar, jam, balang kuih serta tempat menggantung kunci.

“Setiap produk dihasilkan mengambil masa sekurang-kurangnya sehari dan paling lama boleh mencecah hingga lima hari bergantung corak serta saiz produk," katanya yang menetap di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Azmi berkata dari segi harga pula, ia bermula serendah RM29 manakala paling mahal setakat ini RM500 dan pernah meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan