AM

JELAJAH HAWANA 2024 FOKUS PERKONGSIAN MAKLUMAT KEWARTAWANAN KEPADA MAHASISWA

25/10/2024 04:50 PM

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Perkongsian maklumat dalam bidang kewartawanan kepada para mahasiswa di universiti menjadi fokus utama dalam Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata melalui program itu, mahasiswa didedahkan mengenai perkembangan industri media pada masa kini.

“Untuk tahun ini HAWANA memperkenalkan siri jelajah bersama siswa, yang bermatlamat berkongsi maklumat dan perkembangan semasa tentang bidang kewartawanan dan industri media.

“Berikutnya program Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa, kita akan adakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk zon Tengah,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa bagi zon Sabah, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Dr Rosalam Sarbatly dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024.

Sempena program itu hari ini, Nur-ul Afida menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.

Program jelajah bersama siswa itu diadakan bersempena dengan sambutan HAWANA 2024, yang melibatkan enam zon iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Pantai Timur dan Selatan.

Sementara itu, Rosalam berkata UMS amat berterima kasih kepada Bernama kerana telah memilih UMS bagi program itu dan hadir bagi berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam bidang kewartawanan bersama pelajar universiti itu.

Beliau berkata program itu sangat memberi manfaat khususnya kepada pelajar dalam bidang komunikasi, yang didedahkan kepada dunia kewartawanan.

“Dengan adanya Bernama, kita boleh hantar pelajar-pelajar UMS malah pensyarah untuk turut sama belajar dan pelajaran yang paling baik adalah menerusi pengalaman,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan