PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum semua pandangan dan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan turut dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Anwar hari ini.
“Ya, ada dibincangkan termasuk beberapa aspek merangkumi pandangan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), pandangan daripada syarikat yang usahakan ladang-ladang, mengenai beberapa keputusan atau pengumuman pada Belanjawan 2025.
“Perdana menteri telah dimaklumkan tentang pandangan ini dan sudah pasti beliau akan mengambil kira (semua pandangan serta kebimbangan) dan kita tunggu sebarang keputusan sewaktu penggulungan nanti, insya-Allah oleh pihak Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) pada 22 Okt lepas menyuarakan kebimbangan berkenaan dengan alasan cadangan kenaikan gaji minimum dan sumbangan KWSP itu mungkin memberikan tekanan kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh PKS, terutamanya pada saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas pandemik.
Presiden Kebangsaan SME Malaysia Chin Chee Seong dilaporkan berkata walaupun usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan pekerja dihargai, pelaksanaan dasar itu tanpa sokongan tambahan bakal menggugat kelangsungan sektor PKS.
-- BERNAMA