AM

KCCM 2024: LEBIH 200 PAKEJ PELANCONGAN MENANTI PENGUNJUNG

25/10/2024 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Lebih 200 pakej pelancongan di seluruh Malaysia menanti pengunjung yang hadir ke Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 (KCCM 2024), berlangsung selama tiga hari di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga Ahad.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Khairul Firdaus Akbar Khan berkata bertemakan Crafting Holidays, karnival ini mengajak rakyat Malaysia bercuti di dalam negara selain memanfaatkan tawaran pakej istimewa yang dipromosikan sewaktu penganjuran.

“Kesemua pakej ini ditawarkan oleh lebih 100 penggiat industri yang mengambil bahagian, dengan tawaran diskaun pembelian antara 15 sehingga 50 peratus.

“Antara keunikan yang terdapat dalam penganjuran KCCM 2024 ialah Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik. Dengan lebih 30 reruai yang menawarkan pelbagai juadah tradisional, kuih-muih, dan produk kraf, Pasar Saloma pastinya mengimbau nostalgia buat pengunjung yang hadir, serta merupakan an instagrammable moment unlike any other,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KCCM 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy dan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk (Dr) Yasmin Mahmood.

Selain itu, terdapat juga Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan lawatan berpandu berkumpulan serta aktiviti interaktif kraf di empat buah kompleks kraf iaitu Kompleks Kuala Lumpur, Langkawi, Johor dan Melaka.

“Kesemua pusat kraf setempat tersebut memiliki tarikan tersendiri, merangkumi komponen seperti pusat jualan kraf, muzium dan Galeri Kraf Warisan, Perkampungan Kraf, Perkampungan Pelukis, Taman Etno Kraf dan Taman Madu Kelulut.

“Bagi memudahkan para pelancong untuk merancang percutian serta mendapatkan produk kraf di setiap negeri, aplikasi Craft On The Go (COTG) turut boleh dimuat turun serta dimanfaatkan oleh pengguna bagi mengetahui maklumat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata KCCM 2024 merupakan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Kraftangan Malaysia serta lain-lain agensi di bawah MOTAC, seperti Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat Januari sehingga Jun 2024, sebanyak 127 juta pelawat domestik direkodkan dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM53.2 bilion.

“Tahun ini kementerian sasarkan 221 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan sebanyak RM92.7 bilion dan disasarkan akan terus meningkat kepada 241 juta pelawat pada tahun 2025 dan seterusnya kepada 261 juta orang pada tahun 2026, dengan jangkaan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM115.2 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan