AM

PKNS RAIH TIGA ANUGERAH BERPRESTIJ PROPERTYGURU

26/10/2024 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memenangi tiga anugerah berprestij pada PropertyGuru Asia Awards Malaysia in partnership with iProperty yang berlangsung di sini malam tadi.

PKNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua anugerah dimenangi menerusi projek Ixora di Antara Gapi iaitu Reka Bentuk Dalaman Rumah Bertanah Terbaik dan Rekaan Lanskap Hartanah Terbaik.

Selain itu, PKNS turut menerima Anugerah Pilihan Ramai menerusi undian awam. 

Menurut PKNS, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusannya dalam menyediakan seni bina rumah moden dan memenuhi piawaian tertinggi bagi menarik pembeli. 

"Ia juga menjadi penanda aras bahawa PKNS berada di landasan yang betul, memberi inspirasi untuk terus berusaha menyediakan projek hartanah berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, selari dengan aspirasi pembangunan negeri," menurut kenyataan itu.

PKNS turut memaklumkan projek Ixora melibatkan 90 unit rumah teres dua tingkat yang dibina dengan tiga varian saiz keluasan lantai iaitu dari 1,708.68 hingga 1,872.51 kaki persegi. 

Dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air, Ixora dijual pada harga bermula dari RM588,000 dan dijangka siap pada 2026.

"Kelebihan projek ini adalah lokasinya berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti institusi pendidikan, kawasan komersial, Stesen KTM Serendah, bank, serta kawasan pelancongan yang menarik dengan latar belakang kehijauan seperti Air Terjun Serendah. Selain itu, ia juga mempunyai akses kepada beberapa lebuh raya utama," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan penyertaan kedua PKNS dalam anugerah itu. Pada penyertaan pertama tahun lepas, PKNS memenangi empat anugerah termasuk satu anugerah di peringkat Asia iaitu Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik.

Dianjurkan oleh PropertyGuru sejak 10 tahun lepas, anugerah itu merupakan satu daripada anugerah hartanah berprestij yang memberi penghargaan dan penghormatan kepada pemaju di negara ini menerusi 103 kategori dipertandingkan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan