AM

BELANJAWAN 2025: PERUNTUKAN RM300 JUTA RANGSANG PROJEK PERALIHAN TENAGA

28/10/2024 05:23 PM

Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran

KUALA TERENGGANU,  28 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan sehingga lebih RM300 juta untuk Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara pada tahun hadapan merupakan langkah tepat bagi merangsang pelaksanaan projek tenaga hijau yang lebih berimpak tinggi.

Pakar sains alam sekitar, pengurusan dan kelestarian dari Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin berkata peruntukan itu memenuhi keperluan dana bagi kesinambungan projek seperti Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir. 

Beliau berkata Malaysia telah mengambil beberapa langkah penting namun masih berdepan beberapa cabaran, antaranya bagi memastikan peralihan semua sektor kepada tenaga boleh baharu (TBB) berlaku secara konsisten tanpa mengganggu kestabilan bekalan elektrik.

"Projek-projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kini memasuki fasa pelaksanaan yang menunjukkan kerajaan berada di landasan betul. Namun negara memerlukan kesinambungan dana dan dasar jelas di samping sokongan sektor swasta untuk kejayaannya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas mengumumkan peruntukan lebih RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga, berbanding RM100 juta tahun ini bagi memenuhi objektif NETR ke arah mencapai sasaran gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.

Ini termasuk projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir yang berupaya menghasilkan sehingga 1,000 megawatt (MW) dan separuh kapasiti itu akan digunakan untuk projek hab hidrogen hijau pertama di Terengganu melibatkan kerjasama Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mohamad Faiz yang juga penyelidik jemputan di Pusat Penyelidikan Sumber Air Universiti Kyoto, Jepun turut menyifatkan peruntukan itu sebagai komitmen kerajaan terhadap pembangunan lestari dan kepentingan menangani perubahan iklim secara menyeluruh.

"Peruntukan tambahan menunjukkan kerajaan bukan sahaja bercakap mengenai peralihan tenaga tetapi juga bertindak untuk mencapai matlamat berkenaan melalui pelaburan dalam teknologi yang sesuai.

"Peralihan tenaga tidak mudah kerana memerlukan pelaburan besar dalam teknologi baharu, peningkatan infrastruktur dan penyesuaian dasar menyeluruh. Justeru, tambahan peruntukan akan mengurangkan beban kewangan dan membantu menyelesaikan beberapa cabaran utama selain mempercepat inovasi teknologi," katanya.

Mohamad Faiz berkata peralihan tenaga yang dirancang dengan baik dapat membantu mengekalkan bekalan tenaga yang stabil dan pengenalan teknologi hijau seperti ladang solar terapung serta hidrogen hijau akan menambah baik daya tahan grid tenaga negara.

Beliau berkata penggunaan sumber tenaga yang pelbagai juga mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang bergantung kepada satu sumber tenaga apatah lagi ketika krisis tenaga global melibatkan arang batu dan gas kini memberi tekanan signifikan kepada negara yang bergantung kepada bahan api fosil.

Sementara itu pakar TBB Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur berkata 1,000 MW yang dijana ladang solar terapung kedua di Malaysia itu adalah suatu janaan yang besar dan berpotensi memenuhi permintaan tinggi terhadap tenaga elektrik.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah di Pusat Pengurusan Tenaga dan  Kampus Lestari (COSCEM) UniMAP berkata ia dijangka mampu menyokong di antara 200,000 ke 300,000 isi rumah bergantung kepada kadar penggunaan tenaga elektrik di premis berkenaan.

“Perkara ini sudah tentu akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik melalui kaedah yang mesra alam sekali gus menyumbang dalam usaha mencapai sasaran sifar bersih gas rumah hijau menjelang 2050.

“Buat masa ini penjanaan tenaga elektrik di Malaysia masih didominasi bahan api fosil iaitu gas asli serta arang batu dan janaan daripada bahan ini menyebabkan pelepasan gas rumah hijau yang ketara di samping mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata projek di permukaan air yang luas itu juga akan memberi ruang kawasan tanah lapang yang sebelum ini digunakan untuk pemasangan solar, dimanfaatkan bagi tujuan lain seperti pembangunan atau pertanian.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan