EKONOMI

PEMATUHAN DASAR BOLEH DITERAPKAN DALAM TRANSAKSI RENTAS SEMPADAN MELALUI PROJEK MANDALA

28/10/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bank for International Settlements (BIS) dan rakan-rakan bank pusat telah berjaya membuktikan melalui Projek Mandala bahawa pematuhan dasar boleh diterapkan dalam protokol transaksi rentas sempadan.

Projek eksperimen ini merupakan kerjasama antara BIS Innovation Hub di Singapura, Reserve Bank of Australia, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia dan Monetary Authority of Singapore, katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Projek yang kini berada pada tahap pembuktian konsep ini adalah selaras dengan tindakan keutamaan G20 untuk mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan, memandangkan potensinya bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kepantasan transaksi sambil memastikan pematuhan pengawalseliaan.

Ketua BIS Innovation Hub di Singapura Maha El Dimachki berkata Mandala merupakan perintis dalam pendekatan pematuhan terancang (compliance-by-design) bagi menambah baik pembayaran rentas sempadan tanpa menjejaskan privasi atau integriti semakan pengawalseliaan.

“Kami yakin hasil awal ini berpotensi untuk mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan,” kata beliau.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM Dr Norhana Endut berkata projek itu merupakan batu asas yang penting untuk kemajuan selanjutnya dalam pembayaran rentas sempadan.

“Kita telah berjaya membuktikan satu penyelesaian yang berpotensi untuk menangani cabaran utama dengan proses pematuhan sedia ada, serta akan membuka laluan untuk transaksi antarabangsa yang lebih pantas, selamat dan cekap.

“Projek ini juga mengukuhkan komitmen bersama kami untuk memupuk integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih besar di samping meningkatkan keupayaan pengawasan pengawalseliaan,” katanya.

Projek Mandala bertujuan meningkatkan kepantasan dan kecekapan transaksi rentas sempadan dengan mengautomasikan prosedur pematuhan, mempertingkatkan ketelusan dasar khusus sesebuah negara serta menawarkan laporan dan pemantauan secara masa nyata bagi pengawal selia dan penyelia bank pusat.

Ia telah membangunkan sistem tidak berpusat (decentralised) dengan pematuhan terancang yang mampu menyelaraskan pembayaran rentas sempadan dengan menyepadukan pematuhan pengawalseliaan dalam rangkaian institusi kewangan dan bank pusat.

Reka bentuk tidak berpusat ini menggabungkan tiga komponen utama: sistem pesanan rakan ke rakan (peer-to-peer), enjin peraturan (rules engine) dan enjin pembuktian (proof engine).

Sistem ini memastikan semua semakan pematuhan yang diperlukan telah dilaksanakan sebelum arahan pembayaran dimulakan.

“Sebaik sahaja semua semakan selesai, sistem Mandala secara automatik menjana bukti pematuhan, yang boleh disertakan bersama mana-mana aset penyelesaian digital atau arahan pembayaran merentasi sempadan.

“Bagi melindungi privasi, bukti pematuhan boleh disahkan tanpa mendedahkan data asas pelanggan,” katanya.

Mandala berjaya berintegrasi dengan sistem penyelesaian aset digital yang baharu seperti mata wang digital bank pusat secara borong serta sistem pemesejan pembayaran tradisional seperti Swift.

“Dwiintegrasi ini memastikan sistem Mandala serba boleh dan bermodul dalam menyokong ekosistem aset digital masa hadapan dan infrastruktur kewangan yang sedia ada.

“Bagi aset digital, Mandala menggunakan pematuhan boleh diprogram yang dapat disepadukan dalam kontrak pintar,” tambahnya.

--BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan