AM

BERAS 'KOLAM' MULA DICARI, PENYERI DEEPAVALI

28/10/2024 09:22 PM

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 27 Okt (Bernama) -- Deepavali yang bakal disambut Khamis ini diserikan lagi dengan warna-warni hiasan ‘kolam’ di halaman atau depan pintu masuk rumah penyambut perayaan itu.

Bagi peniaga beras ‘kolam’, M.Tharani, 28, kedai warisan keluarganya Mahaeswari Cash & Carry yang terletak di Little India, Jalan Lahat di sini menjadi tumpuan masyarakat India yang mahu mendapatkan beras tersebut atau ‘arisi’ selain barangan keperluan lagi bagi menyambut perayaan itu.

Menurut Tharani setiap kali menjelang pesta cahaya, jualan beras ‘kolam’ di premisnya akan meningkat sehingga sepuluh kali ganda berbanding hari biasa.

“’Kolam’ bukan sekadar wajib ada di setiap rumah sempena Deepavali, penganut digalakkan memberi makan kepada haiwan dan ia akan menarik perhatian haiwan dan serangga seperti burung merpati serta semut,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di sini.

Katanya, hiasan ‘kolam’ ketika Deepavali akan digabungkan dengan lampu pelita (agal vilakku) sebagai simbolik perayaan pesta cahaya.

“Lazimnya selain beras, ‘kolam’ juga dihasilkan menggunakan tepung beras atau serbuk kapur. Biasanya ‘kolam’ dijaga sekurang-kurangnya sehari semalam sehingga hari kedua perayaan sebelum dikemaskan,” katanya.

Tharani berkata seiring peredaran zaman rekaan ‘kolam’ semakin melalui perubahan. Jika dahulu ia dibuat hanya daripada beras tidak berwarna, tetapi kini ia berwarna-warni sekali gus menyemarakkan lagi pagi perayaan.

Menurutnya beras ‘kolam’ yang dijual biasanya berwarna kuning, jingga, merah, biru dan hijau selain rona lain seperti merah jambu.

“Setahu saya membuat beras ini tidaklah sukar, beras hancur dan digaul dengan pewarna kemudian dijemur beberapa hari sehingga kering. Mungkin pada masa kini orang lagi ramai membeli kerana lebih mudah dan banyak peniaga yang menjualnya,” kata graduan Sarjana Muda Pentabdiran Perniagaan itu.

Menyediakan corak ‘kolam’ juga telah mudah apabila acuan yang diperbuat daripada polistirena turut dijual justeru memudahkan penganut yang tidak perlu lagi melukis atau mencorak sebelum beras ditaburkan.

Tharani berkata kebiasaannya corak ‘kolam’ bermotifkan bunga dan haiwan seperti burung. 

“Dalam sesebuah keluarga biasanya perlu ada ahli yang mahir membuat ‘kolam’, jika ada yang berkemahiran tinggi mengenai corak ‘kolam’ pastinya ‘kolam’ akan lebih cantik dan menarik, tak perlu menggunakan acuan,” katanya.

Anak bongsu dari empat beradik itu berkata selain Deepavali, ‘kolam’ juga disediakan sewaktu perayaan Ponggal, perkahwinan atau pertunangan.

Di kedainya beras ‘kolam’ dijual dengan harga RM13 bagi 500 gram yang mempunyai lima jenis warna.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan