AM

KDN ATUR GERAK 66,042 ANGGOTA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

28/10/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Sebanyak 66,042 anggota daripada tiga agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula awal bulan depan.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selain  10,540 pelbagai jenis aset.

"Seramai 17,216 anggota PDRM berserta 9,936 aset pelbagai jenis, RELA (47,100 anggota dan 457 aset) manakala APMM (1,726 anggota dan147 aset) bersedia diatur gerak di seluruh negara.

“Antara peranan pasukan ini adalah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di pusat pemindahan sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan pascabencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

Kenyataan itu memaklumkan fenomena MTL biasanya akan membawa hujan lebat berserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, KDN menasihatkan orang ramai yang berisiko terkesan bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03- 2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan selain melayari www.portalbencana.nadma.gov.my.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang memaklumkan MTL 2024/2025 dijangka bermula pada November dan berterusan sehingga Mac dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Ambun berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember manakala di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan