GEORGE TOWN, 29 Okt (Bernama) -- Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Bajet 2025 akan bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2029.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim membentangkan cadangan konsep projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan projek bernilai RM3 bilion ini kepada Pulau Pinang,” kata Chow dalam catatan Facebooknya hari ini.
Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan oleh Anwar dalam Bajet 2025 pada 18 Okt lepas selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.
Chow sebelum ini dilaporkan berkata projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dijangka dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta (PPP) dan PLUS Malaysia Berhad serta Unit Perkongsian Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi berkaitan kini sedang diteliti.
Chow sebelum ini meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua kerana keadaan trafik semakin mendesak yang dibangkitkannya semasa taklimat mengenai pembangunan Pulau Pinang April lepas.
-- BERNAMA