AM

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN SARAWAK ADALAH MEMBANTU RAKYAT SENDIRI - PREMIER ABANG JOHARI

29/10/2024 06:11 PM

KUCHING, 29 Okt (Bernama) -- Tanggungjawab kerajaan Sarawak ialah membantu rakyatnya untuk meningkatkan pendapatan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata walaupun Sarawak kini disenaraikan sebagai negeri yang berpendapatan tinggi, bukan tanggungjawab negeri itu membantu negeri lain yang mundur, kerana itu tanggungjawab kerajaan pusat.

“Sarawak kaya sebab kita  mampu menguruskan ekonomi kita dengan baik, usaha kita belum habis lagi iaitu untuk menaikkan pendapatan isi rumah rakyat, sebab itu kita majukan kawasan luar bandar terlebih dahulu.

“Ada pepatah orang putih berbunyi charity begins at home. Orang kampung kita masih ada banyak masalah, jadi kita tolong orang kampung dululah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelan Induk Kelestarian Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan sebuah portal berita semalam, bahawa Sarawak harus membantu negeri yang mundur untuk membangun.

Dalam wawancara itu Tun Mahathir berkata Sarawak, yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun.

Beliau dipetik sebagai berkata Malaysia merupakan sebagai sebuah persekutuan dan negeri yang lebih kaya mesti berkongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.

Sementara itu, Abang Johari turut memberikan contoh saiz negeri Kedah hampir sama dengan kawasan Baram, kawasan pedalaman utara Sarawak, namun peruntukan bagi setiap negeri adalah hampir sama.

“Bagaimana anda boleh menyamakan Sarawak dengan Kedah, sedangkan kita lebih besar? Banyak sekolah kami dalam keadaan uzur dan Sarawak terpaksa menggunakan dana sendiri untuk membantunya.

“Oleh itu, saya tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang perkara ini (pendapat Mahathir), kerana rakyat kita sendiri masih memerlukan pembangunan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan