PUTRAJAYA, 29 Feb (Bernama) -- Semua prosiding daripada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) akan dibukukan dan diterbitkan untuk dijadikan bahan rujukan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bercakap kepada media selepas melancarkan platform MySISWAPLACE di sini hari ini, Zambry berkata langkah itu akan dilaksanakan segera memandangkan FIM bakal memasuki siri 3 pada bulan depan.
“FIM ini cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjadi platform sangat baik. Ia membolehkan Perdana Menteri berinteraksi secara terus dengan golongan intelektual, teknokrat dan mereka yang yang terlibat dalam proses membuat dasar.
“Kita akan buat penambahbaikan dari semasa ke semasa malah kita akan fikirkan kaedah lain untuk tambah baik penganjuran FIM, bukukan prosiding serta gunakan beberapa cadangan yang dikongsikan daripada FIM ini,” katanya.
Zambry berkata penganjuran FIM penting untuk memberi ruang kepada golongan cendiakawan melontarkan idea kepada kerajaan dalam pelbagai sektor.
FIM Siri 1 telah diadakan pada 25 Sept lepas yang membincangkan tema mengenai ‘Mencorak Peralihan Tenaga Yang Mampan Untuk Masa Depan Negara Yang Sejahtera’, manakala siri 2 malam tadi pula membincangkan mengenai ‘Peralihan Tenaga Untuk Pertumbuhan Sosioekonomi Mampan dan Inklusif’.
FIM yang dianjurkan setiap bulan bermula bulan lepas adalah program anjuran secara bersama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpilih dengan topik forum yang diketengahkan berkaitan Kerangka Ekonomi MADANI.
-- BERNAMA