AM

DEEPAVALI: LITTLE INDIA BRICKFIELDS JADI TUMPUAN BELI PERSIAPAN AKHIR

30/10/2024 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Little India Brickfields di sini terus menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan segar serta kelengkapan lain perayaan pada harga diskaun sehingga 50 peratus sebagai persiapan akhir menjelang sambutan Deepavali esok.

Berdasarkan tinjauan Bernama, orang ramai mula mengunjungi kawasan itu seawal 8 pagi meskipun perniagaan beroperasi bermula 10 pagi.

Pavitthra Kandiah, 35, berkata sudah menjadi rutin buatnya melengkapkan persiapan perayaan di saat akhir kerana mahu mendapatkan barangan yang segar seperti bunga, buah-buahan dan manisan.

“Setiap tahun memang saya akan datang ke sini untuk buat persiapan akhir, lagi-lagi untuk dapatkan barangan segar untuk kita gunakan bagi upacara sembahyang malam ini dan esok pagi. Biasanya saya akan dapatkan bunga-bunga hiasan yang segar, sebab kalau kita beli awal memang akan layu.

“Walaupun dekorasi rumah sudah lengkap, tetapi kita tetap juga akan keluar di saat akhir sebab kita tahu akan ada banyak diskaun yang ditawarkan peniaga di sini boleh jatuh sehingga separuh harga,” katanya.

Bagi Rupiha Ragoowathy, 31, beliau sanggup datang dari Klang semata-mata untuk merasakan kemeriahan membuat persiapan di Little India Brickfields.

“Pukul 8.30 pagi kita sudah sampai sini walaupun kedai belum beroperasi, tetapi orang sudah ramai, jadi kita datang awal untuk perjalanan yang lancar dan mendapatkan parkir dengan lebih mudah,” katanya.

Kumar, 37, berkata kedatangannya di Little India Brickfields hari ini untuk membeli pelbagai barangan termasuk baju raya, barang perhiasan rumah, bunga api dan sebagainya.

“Kita memang suka beli barang pada saat akhir, lagi-lagi di sini sebab kita tahu akan ada banyak lagi pilihan yang akan dikeluarkan peniaga dan dijual pada harga yang lebih rendah untuk menghabiskan jualan mereka.

“Selain itu, kita nak dapatkan ‘mood’ raya juga sebab itu kita tidak kisah bersesak. Walaupun terpaksa masuk pejabat tengah hari ini kerana bekerja separuh hari, ia bukan masalah, janji kami sekeluarga gembira menyambut perayaan pesta cahaya pada tahun ini,” katanya yang akan pulang ke kampung halamannya di Johor malam ini.

Raj Kumar, 40, berkata beliau terpaksa mencuri masa kerja untuk mendapatkan barangan segar sebelum mula bercuti esok.

“Saya masuk pejabat awal sedikit hari ini untuk memastikan saya dapat ke sini membeli barangan keperluan seperti perhiasan rumah, makanan segar, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai pakaian yang hanya ingin dikenali sebagai Kimed, 24, berkata tawaran harga diskaun diberikan sehingga 50 peratus kepada pelbagai barangan termasuk pakaian wanita dan lelaki seperti Lehenga, Punjabi suit, barangan perhiasan rumah, patung sembahyang.

“Kita memang ada pelanggan tetap yang memang tahu kita akan buat diskaun di saat akhir dan mereka memang akan datang untuk dapatkan keperluan mereka di sini.

“Selain pakaian, kita juga beri diskaun pada lampu hiasan LED sehingga separuh harga, begitu juga dengan baju raya, bunga potongan sekitar 20 hingga 30 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan