KUCHING, 30 Okt (Bernama) -- Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Jalan Ong Tiang Swee di sini disifatkan sebagai simbol perpaduan rakyat Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dengan siapnya kompleks itu ia dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti di negeri ini untuk tujuan keagamaan dan bukan keagamaan.
“Sepatutnya penyerahan (kompleks) pada September namun atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan maka penyerahan OP (Permit Menduduki) dilakukan pada hari ini dan inilah masa yang kita tunggu-tunggukan.
“Saya ingat lagi semasa pecah tanah, beberapa perkara yang merisaukan saya adakah bangunan ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana perjalanan ini merupakan sesuatu yang sangat penting bagi kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan OP Kompleks UNIFOR di sini hari ini.
Uggah berkata kompleks UNIFOR yang bernilai RM75 juta merupakan sebuah bangunan 10 tingkat yang turut dilengkapi dengan lapan gerai di bahagian bawah selain dewan acara yang boleh memuatkan kira-kira 120 meja dalam suatu masa.
“Kita berharap selepas ini ada pihak yang ingin mengadakan apa jua acara memilih dewan ini untuk disewa sebagai tanda sokongan terhadap UNIFOR,” katanya.
UNIFOR ditubuhkan pada 2017 oleh kerajaan Sarawak untuk menjaga kebajikan agama bukan Islam dan memberikan bantuan kewangan bagi pembangunan fizikal dan menaik taraf rumah ibadat agama lain.
-- BERNAMA