AM

TEKANAN KEPADA ISRAEL: SAYA AMBIL LANGKAH MELANGKAUI KESANGGUPAN NEGARA LAIN - PM

04/11/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah mengambil langkah melangkaui kesanggupan banyak negara lain dalam hal membabitkan ketegasan kepada Israel bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Menyifatkan kenyataan itu bukanlah bersifat takbur, beliau berkata ramai rakannya dari negara lain juga mengingatkannya tentang risiko atas kelantangan dalam hal tersebut. 

"Pagi tadi saya berbincang dengan Menteri Luar mengenai kenyataan-kenyataan kita yang dikeluarkan, bagaimana untuk memastikan supaya Malaysia tidak terjejas.

"Kalau saudara baca buku terakhir tentang peranan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat. Berapa pemerintahan yang mereka gulingkan kerana pendirian tegas yang mereka anggap bertentangan dengan sikap dan pendirian mereka, (namun) ini risiko yang saya fikirkan, saya tidak ketepikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, sebagai maklum balas kepada gesaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang mahu kerajaan menyemak kembali penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada GIP-Blackrock.  

Perdana Menteri berkata dalam hal membabitkan Israel, kerajaan tidak boleh mengambil keputusan retorik hanya untuk menarik perhatian orang ramai.

Beliau berkata adalah lebih baik jika Malaysia membina kekuatan dalaman dan kekuatan bersama negara-negara Arab atau Global South, kerana ia lebih realistik, mengambil kira permasalahan dunia yang rencam dan rumit.

Menyentuh mengenai kedudukan syarikat Israel di negara ini, Anwar berkata tidak banyak negara di dunia yang berani melakukan tindakan tegas, antaranya apabila tidak membenarkan kontena dari syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, daripada memasuki negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta pembangkang untuk tidak menggesa kerajaan melakukan lebih daripada itu, memandangkan sewaktu mereka berada dalam pemerintahan, ZIM dibenarkan berlabuh di negara ini. 

“Janganlah menggesa kita buat lebih daripada itu kerana semasa rakan-rakan (Perikatan Nasional) dalam pemerintahan pun mereka tidak lakukan begitu, malah mereka izinkan ZIM berlabuh, kita tidak izinkan, tapi kita ambil langkah lebih daripada itu,” katanya.

Beliau turut mengecam tindakan pihak yang masih membela tindakan Israel yang melakukan genosid kepada rakyat Palestin. 

“Kita rasa resah dan sedih terhadap apa yang berlaku, setiap hari belum pernah berlaku dalam sejarah moden apa dilakukan kepada rakyat Palestin. Maknanya orang yang biadab dan gila sahaja yang mampu melihat dan mengizinkan dan memberi hujah mempertahan kezaliman ini,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan