Daripada Kisho Kumari Sucedaram
ISTANBUL, 4 Nov (Bernama) -- Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengutamakan perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama teguh dalam kalangan negara Islam untuk membangunkan ekosistem kewangan moden, cekap dan inklusif, yang berkesan menghentikan kaedah tradisi lapuk.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata usaha sedemikian penting dalam memperkukuh sistem pembayaran digital dan memastikannya memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam global di samping berpegang kepada prinsip kewangan Islam.
Menurutnya OIC berperanan sebagai organisasi antara kerajaan kedua terbesar di dunia, yang berpotensi luas dalam pembangunan.
“Dengan sumber asli yang luas, modal insan yang pelbagai dan pasaran luas merangkumi empat benua, negara anggota OIC berpotensi dalam pertumbuhan ekonomi yang teguh,” katanya pada majlis perasmian Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) di sini pada Isnin.
Fahmi memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil yang memberi kenyataan itu, termasuk dari Qatar dan Gambia.
Ini kali pertama dalam tempoh 40 tahun menteri dari Malaysia menghadiri COMCEC, dengan yang terakhir hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.
Menurut Fahmi umat Islam kini membentuk kira-kira 25 peratus daripada populasi global, mewujudkan pasaran yang berpotensi menjadi kuasa ekonomi yang ketara.
“Peningkatan umat Islam mewah di seluruh dunia berpotensi besar dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi global pada masa ini, kita mesti merebut potensi pendigitalan dan inovasi untuk memacu kesalinghubungan dan keterangkuman ekonomi,” katanya.
Fahmi berkata oleh itu penerimagunaan teknologi digital pastinya akan menambah daya saing dan produktiviti sesebuah negara dan meningkatkannya dalam rantaian nilai.
Sehubungan itu, katanya Malaysia menyambut baik saranan dasar yang dikemukakan oleh Pejabat Penyelarasan COMCEC (CCO) bertemakan “Transformasi Digital Sistem Pembayaran di Negara Anggota OIC.”
Menurutnya ini memandangkan transformasi yang sedang dilaksanakan mengetengahkan gabungan unik antara cabaran dan peluang terutama dalam memastikan kemajuan yang sejajar dengan prinsip patuh Syariah, memperkukuh nilai dan memastikan keterangkuman dalam kewangan Islam.
Menyentuh mengenai hubungan ekonomi Malaysia dengan negara anggota OIC, beliau berkata jumlah perdagangan terus meningkat sejak beberapa tahun lepas.
Beliau berkata di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jumlah perdagangan Malaysia dengan negara anggota OIC pada 2023 bernilai US$67.17 bilion (RM306.49 bilion), yang mewakili 11.6 peratus daripada perdagangan barangan Malaysia dengan seluruh dunia.
Momentum positif ini berterusan pada 2024, dengan jumlah dagangan sebanyak US$52.39 bilion (RM242.45 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga September 2024, mewakili peningkatan 9.1 peratus berbanding US$49.24 bilion (RM222.29 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.
Fahmi juga berkata Malaysia komited menyokong aspirasi negara anggota OIC untuk meningkatkan perdagangan antara OIC kepada 25 peratus menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam OIC-2025: Programme of Action.
“Kami percaya dengan pelaksanaan sepenuhnya Sistem Keutamaan Perdagangan OIC (TPS-OIC), ditambah dengan daya tahan ekonomi negara anggota OIC, akan memungkinkan untuk mencapai sasaran itu,” katanya.
Beliau juga menegaskan Malaysia akan terus aktif menyertai aktiviti dan inisiatif OIC untuk menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi negara terhadap pembangunan ummah.
“Malaysia percaya peningkatan permintaan global terhadap produk halal, khususnya makanan dan barangan perkilangan, akan menjadi pemangkin penting bagi pertumbuhan perdagangan antara OIC,” katanya.
Beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-20 baru-baru ini di Kuala Lumpur menarik lebih 43,000 pengunjung perdagangan dan mencatatkan nilai dagangan hampir US$1 bilion (RM4.3 bilion).
“Malaysia menyasar untuk meneruskan momentum ini dengan MIHAS@Dubai yang julung kali diadakan, dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 20 Nov 2024 di Dubai World Trade Centre.
"Kami amat mengalu-alukan semua negara anggota OIC untuk menyertai acara ini," katanya.
“Saya ingin mengulangi komitmen teguh Malaysia untuk memajukan perdagangan bebas dan adil, memupuk pertumbuhan dan kemakmuran dalam OIC,” katanya.
Fahmi sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Turkiye dari 3 hingga 5 November termasuk menghadiri COMCEC di Istanbul.
-- BERNAMA