AM

SABAH ELECTRICITY RAYU SOKONGAN KEWANGAN DARIPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN

04/11/2024 08:42 PM

KOTA KINABALU, 4 Nov (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) berdepan kekurangan dana dan memerlukan sokongan kewangan dari kerajaan Persekutuan bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan, kata Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Tangau dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya bekalan elektrik terputus di seluruh negeri bermula Januari 2025 kecuali kerajaan Persekutuan memberikan sokongan kewangan yang mendesak.

“Bayangkan apa yang akan berlaku kepada pasukan keselamatan, sistem perubatan dan kesihatan, operasi lapangan terbang, bekalan air, telekomunikasi, sistem pengangkutan serta keseluruhan rangkaian perkhidmatan kerajaan tanpa elektrik,” kata Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran dan Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Implikasi bekalan elektrik terputus secara sepenuhnya melebihi daripada sekadar keselamatan tenaga, malah ia juga mengancam keselamatan negara, katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi ini dalam Belanjawan 2025.

Menurut beliau tarif elektrik di Sabah kekal pada kadar disubsidi sebanyak 34.52 sen per kilowatt-jam (kWh) sejak 2014, walaupun kos pengeluaran dan pembelian tenaga semakin meningkat.

Sabah Electricity, katanya, kini hanya menghasilkan 20 peratus daripada bekalan tenaga negeri dan membeli 80 peratus lagi daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan kos purata sebanyak 43 sen per kWh.

Beliau berkata subsidi sokongan bahan bakar dan tarif kerajaan Persekutuan menampung perbezaan kos bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan dengan kerugian kira-kira 10 sen bagi setiap unit elektrik.

“Namun, tahun ini, perbezaan kos semakin besar kerana Sabah Electricity terpaksa membelanjakan lebih banyak untuk membeli diesel bagi menjana tenaga.

“Ini adalah alternatif segera bagi kelewatan dalam pengoperasian beberapa loji penjanaan yang akan beroperasi, khususnya Loji Hidro Tenom Pangi 66 megawatt (MW) yang terjejas berikutan tanah runtuh dan aliran lumpur pada Oktober 2022,” katanya.

Tangau berkata di bawah rejim peraturan berasaskan insentif, sebarang jurang dalam kos perlu dipulihkan daripada pengguna atau kerajaan melalui subsidi.

“Saya difahamkan kerajaan Sabah telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tangau berkata Sabah Electricity juga akan menghantar surat rayuan yang serupa kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya dengan serta-merta.

Beliau berkata aliran tunai Sabah Electricity kini sedang mengalami defisit.

Katanya, tanpa sokongan segera, mereka tidak akan mempunyai wang untuk membayar IPP dan pembekal bahan bakar.

“Ketika itu, bekalan bahan bakar ke loji tenaga akan terhalang dan keseluruhan sistem akan runtuh,” katanya.

Tangau berkata bekalan elektrik terputus yang berpanjangan akan melumpuhkan perkhidmatan penting, berpotensi mengganggu operasi lapangan terbang, merencatkan penjagaan di hospital dan mengganggu kemudahan rawatan air yang akan memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat di Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan