KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan penyebaran jemputan mesyuarat mengenai pelaksanaan projek menara 5G dan projek JENDELA 2 di Sabah yang didakwa berlangsung di sebuah hotel di ibu negara esok.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan malam ini memaklumkan jemputan itu adalah tidak benar dan ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memperdaya orang ramai.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh MCMC berhubung perkara tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai pelaksanaan projek sedemikian akan dibuat mengikut saluran rasmi suruhanjaya itu.
Justeru, suruhanjaya itu menggesa orang ramai agar melayari laman rasmi MCMC bagi mendapatkan kepastian dan pengesahan mengenai majlis yang dianjurkannya.
-- BERNAMA