TOKYO, 5 Nov (Bernama-Kyodo) -- Bursa Saham Tokyo (TSE) melanjutkan waktu dagangan biasa sebanyak 30 minit bermula Selasa sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan bursa lebih menarik kepada pelabur asing, lapor Kyodo News.
Menurut syarikat induk pengendali bursa itu, Japan Exchange Group Inc, ini adalah kali pertama pelanjutan waktu dagangan dilakukan dalam tempoh 70 tahun.
Dengan perubahan ini, pasaran akan beroperasi dari 9 pagi hingga 3.30 petang dengan waktu rehat tengah hari selama satu jam.
Pelanjutan ini juga bertujuan memberi lebih masa kepada pelabur untuk berdagang sekiranya berlaku sebarang masalah seperti gangguan sistem, menurut bursa yang mempunyai hampir 4,000 syarikat tersenarai.
TSE pernah mengalami gangguan sistem sepanjang hari pada Oktober 2020 akibat masalah teknikal.
Walaupun dengan perubahan ini, TSE masih menawarkan waktu dagangan yang lebih pendek berbanding bursa utama dunia lain, seperti Bursa Saham New York, yang beroperasi selama enam setengah jam dan Bursa Saham London, yang dibuka selama lapan setengah jam.
-- BERNAMA-KYODO