Daripada Massita Ahmad
SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Prinsip dasar masa depan bersama diterima baik oleh kalangan negara di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Selatan Global, justeru sebab itulah Malaysia bersetuju untuk menyertai BRICS, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini, Anwar menyifatkan ucapan Presiden China Xi Jinping pada persidangan BRICS di Kazan baru-baru ini sebagai “hebat”.
Beliau berkata Xi menggesa semangat masa depan bersama dimanfaatkan bagi menangani sentimen perselisihan dan dasar perlindungan, yang “kita mesti membangunkan komuniti dengan masa depan bersama, untuk mengekalkan keamanan global, keselamatan global, dan berkongsi pengalaman, kepakaran, teknologi dengan dunia.”
Tahun ini, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai "Country of Honour" di CIIE ketujuh, yang diadakan mulai hari ini hingga 10 Nov, 2024. Acara itu mengetengahkan tema “New Era Shared Future”.
Anwar diberikan keistimewaan berucap sejurus selepas rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, diikuti pemimpin dari lima negara lain: Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania, dan Uzbekistan.
Perdana Menteri juga berkata ucapan Perdana Menteri Li Qiang bahawa fenomena kejayaan yang dicapai oleh China adalah contoh, bukan sahaja dari segi tadbir urus dan dasar yang betul malah juga sikap yang menjanjikan untuk memastikan “perdagangan, pelaburan dan kemakmuran ekonomi” akan memberikan manfaat kepada masyarakat antarabangsa.
“Ini, sudah tentu, bukan satu kenyataan yang mudah kerana bercanggah dengan pandangan banyak kuasa ekonomi dunia.
“...Dan atas alasan inilah saya sependapat dengan rakan lain yang memuji China dan kepimpinannya kerana menolak amalan perdagangan yang sangat kabur, merendahkan dan tidak adil,” kata beliau.
Anwar memuji CIIE, yang memberi peluang bukan sahaja kepada syarikat China malah juga syarikat di seluruh dunia, termasuk syarikat kecil dan perusahaan sederhana, untuk mengetengahkan kapasiti dan keupayaan masing-masing serta menarik pelaburan baharu.
“Jadi, kerjasama pelbagai budaya untuk perdagangan bebas dan matlamat kemampanan perlu dimanfaatkan sebagai kaedah untuk memacu kemajuan global secara saksama dan bukannya sebagai senjata untuk mengekang persaingan, menggalakkan kelebihan tidak adil atau mencetuskan konflik,” kata beliau.
CIIE adalah inisiatif kerajaan China bagi menyediakan platform untuk negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) supaya dapat mempromosikan dan mengeksport produk serta perkhidmatan masing-masing ke China.
Mengulas mengenai kepengerusian ASEAN tahun depan, Anwar berkata Malaysia menyasar untuk memperkukuh kerjasama serantau dan rangka kerja serantau berasaskan peraturan yang inklusif.
“Dalam hal ini, kami mahu berkongsi prinsip masa depan bersama berpandangan jauh yang diketengahkan China apabila kami menganjurkan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk), kami juga akan mengadakan acara yang dipanggil Sidang Kemuncak ASEAN Plus GCC Plus China,” kata beliau.
Sidang kemuncak itu dijangka diadakan pada Mei 2025.
Anwar menambah perkara itu akan memberi kesan besar kepada trajektori pertumbuhan serantau dan “akan memberikan sumbangan ketara dalam mencapai hasil positif berkaitan keseimbangan global dalam pelaburan perdagangan ekonomi, pelaburan dan kemajuan ekonomi.”
Beliau berkata sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN juga berpotensi menjadi daya penggerak untuk pertumbuhan sosio-ekonomi inklusif, yang membuka laluan ke era kemakmuran bersama yang mampan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kami akan melakukan sebaik mungkin, seperti yang anda lihat di sini di China, dalam mengetengahkan tadbir urus yang baik dan memerangi serta membasmi rasuah, selain melaksanakan agenda pembaharuan sosio-ekonomi dan perindustrian.
“Kami terus memperoleh inspirasi, Perdana Menteri Li Qiang, oleh kejayaan luar biasa anda dalam memerangi kemiskinan, yang jelas menunjukkan pencapaian besar dalam penyusunan semula sosial,” kata Anwar.
Anwar kini mengadakan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November atas jemputan rakan sejawatannya, Li, untuk menghadiri CIIE ketujuh di sini, sebuah metropolis antarabangsa moden.
Beliau tiba pada Isnin (4 November), menjadikan Shanghai sebagai destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Di NECC seluas 500,000 meter persegi itu, Anwar akan merasmikan Pavilion Malaysia dan Pavilion Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Sebanyak 68 syarikat Malaysia menyertai CIIE tahun ini.
China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
-- BERNAMA