LABUAN, 5 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa negara di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Labuan sekitar 12.08 tengah hari disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Dalam lawatan Seri Paduka Baginda buat julung kalinya ini, Raja Zarith Sofiah dijadual melawat Kolej Matrikulasi Labuan (LMC), dan berinteraksi dengan para pelajar serta pendidik di kolej berkenaan.
Seri Paduka Baginda kemudiannya dijadual menghadiri Pameran Kraf Tangan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, yang akan menampilkan pelbagai kemahiran tukang kraf tempatan dan kraf tradisional.
Esok pula Raja Permaisuri Agong dijadual menghadiri Majlis Pengurniaan Sumbangan bersama masyarakat di Kompleks Darul Kifayah, yang mencerminkan komitmen Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan komuniti setempat dan inisiatif kebajikan.
-- BERNAMA