AM

SKOR INDEKS KESIHATAN MENTAL BELIA MALAYSIA 2023 MENUNJUKKAN TAHAP SEDERHANA - AHMAD ZAHID

05/11/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 mencatatkan tahap sederhana, iaitu 71.91, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia berkata skor ini menunjukkan adanya tekanan, terutamanya dalam domain persekitaran, sokongan sosial, dan minda sihat. Jika tidak ditangani, keadaan ini berpotensi membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius dalam kalangan belia Malaysia.

"Kita amat prihatin terhadap isu tekanan dan kebimbangan yang mengakibatkan kejadian bunuh diri. Ini disebabkan oleh beberapa faktor luaran, termasuk buli siber serta isu yang berkaitan dengan teknologi dan gaya hidup," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di bangunan Parlimen hari ini.

Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI'23) membuat penilaian berdasarkan tujuh domain iaitu gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan, dan minda sihat, yang disokong oleh 28 indikator.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan