AM

KERAJAAN TIDAK ABAI, PERTIMBANG LANJUT OPERASI PENCARIAN PESAWAT MH370 - LOKE

05/11/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan operasi pencarian lanjut bagi mencari pesawat MH370 sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut beliau, aspirasi kerajaan untuk mencari pesawat MH370 tidak akan diabaikan.

Katanya kerajaan sedang merundingkan tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) pada Jun lepas untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat itu di lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata demikian sebagai menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370.

Menurutnya, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh  dan boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Chong mengenai perjanjian antara Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity, dengan tawaran sehingga US$70 juta pada 2018, Loke berkata rundingan dan perjanjian masih dalam perbincangan dan belum dimuktamad namun kos oleh pihak syarikat adalah sama.

“Perjanjian dan kos yang sama diminta dalam draf perjanjian yang sedang dirundingkan antara kerajaan dan syarikat Ocean Infinity. Sekiranya dimuktamadkan dan perlu mendapatkan kelulusan jemaah menteri, saya akan membuat pengumuman secara terbuka,” katanya.

Menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) tentang strategi menyeluruh bagi meningkatkan prestasi penerbangan awam negara, beliau berkata pihak antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), telah melaksanakan banyak penambahbaikan dari segi keselamatan penerbangan awam yang diwajibkan untuk syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Sudah tentu Malaysia juga akan mengambil langkah yang sama untuk meningkatkan tahap keselamatan serta menyediakan ciri yang lebih efisien dalam usaha memperkukuh keselamatan penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, Loke menjelaskan bahawa kerajaan telah menyelesaikan semua pampasan yang perlu dibayar kepada ‘next of kin’ (NOK) mangsa terlibat sebelum ini.

“Namun, terdapat sebilangan kecil keluarga yang tidak sanggup menerima bayaran pampasan tersebut.

“Sekiranya mereka masih berharap atau bersedia untuk menerima bayaran itu, kami terbuka untuk perbincangan dan bersedia menjadi pengantara antara syarikat penerbangan dan NOK. Namun, setakat ini, memang ada sebilangan kecil yang tidak sanggup atas beberapa sebab peribadi mereka.

“Mereka merasakan bahawa mungkin mereka masih mempunyai harapan untuk menerima kepulangan ahli keluarga mereka,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan