EKONOMI

KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: KERAJAAN DISARAN JADIKAN EKONOMI HIJAU ANTARA AGENDA UTAMA

05/11/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Seorang Ahli Dewan Rakyat mencadangkan agar kerajaan menjadikan ekonomi hijau sebagai antara agenda utama ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.

Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkata Malaysia dijangka memanfaatkan platform kepengerusian ASEAN 2025 untuk memperkukuh inisiatif lestari, termasuk Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN dan Bandar Hijau Pintar ASEAN.

“Langkah ini dilihat akan memberi impak besar dalam membentuk ASEAN sebagai pemimpin dalam pembangunan hijau dan menangani cabaran perubahan iklim di rantau ini.

“Malaysia beraspirasi untuk menjadikan ASEAN sebagai model dalam inisiatif hijau global, sekali gus mewujudkan masa depan mampan bagi generasi akan datang,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata di peringkat domestik, sektor pusat data semakin berkembang pesat terutama di Johor.

Menerusi pelaburan lebih RM51.1 bilion pada 2022 dan jangkaan tambahan RM17 bilion pada tahun ini, Johor kini menjadi destinasi utama bagi pusat data di Malaysia dan berada di kedudukan kesembilan terbesar di Asia Pasifik, katanya.

“Dalam tempoh dua tahun, Johor berjaya menarik pelaburan lebih 50 pusat data,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata kerajaan negeri Johor sedang merangka kaedah alternatif seperti penggunaan sumber air tidak terawat dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu melalui projek solar di Pengerang.

Ketika membuat celahan, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) membangkitkan cabaran alam sekitar dan tenaga, selain menggesa perhatian diberikan terhadap isu penggunaan tenaga yang tinggi dan air dalam operasi pusat data.

Puah berkata pusat data menggunakan jumlah tenaga yang besar untuk menggerakkan serta menyejukkan sistem operasinya dan jika tidak dikawal, kadar penggunaan tinggi boleh membebankan grid kuasa tempatan.

Di samping itu, Hasni mengulangi penekanan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 iaitu Malaysia perlu memastikan pelaburan pusat data memberikan nilai tambah kepada rakyat, bukan sekadar sebagai rebutan ekonomi.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menegaskan keutamaan terhadap penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan pemerkasaan perkongsian teknologi serta kepakaran tempatan.

“Pembangunan ekosistem digital menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri Johor turut diberi perhatian, termasuk kemudahan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, dan kewangan digital yang menyokong sektor pusat data,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan