KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Integriti yang kukuh dalam semua sektor termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu adalah penting bagi memastikan akauntabiliti dan menggalakkan pertumbuhan negara yang mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keperluan kritikal itu penting untuk menegakkan prinsip seperti tadbir urus yang baik, amalan baik dan ketelusan yang berfungsi sebagai asas kepada pembangunan negara.
“Kita membincang integriti di semua peringkat, tetapi ia mesti bermula di rumah. Integriti bermula dalam keluarga, dan dari situ, kita berharap dapat memupuk amalan dan nilai murni yang akan meluas kepada masyarakat serta organisasi,” katanya pada pelancaran Bulan Integriti di sini hari ini.
Kerajaan MADANI terus komited untuk meningkatkan tadbir urus institusi, menumpukan pada menangani kebimbangan berkaitan akauntabiliti dan ketelusan korporat dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjalankan audit dalaman berikutan kerugian pelaburan yang ketara berjumlah RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd.
Sementara itu, Fadillah berkata Institut Integriti Malaysia (IIM) perlu diperkasakan sebagai pusat kepakaran yang menyediakan panduan dan sokongan kepada agensi kerajaan, sektor swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan amalan integriti diterapkan dengan konsisten dan berkesan.
Beliau dalam ucapan perasmian itu berkata sudah tiba masanya peranan IIM diluaskan sebagai pusat rujukan utama untuk integriti di peringkat nasional.
“Seiring dengan dasar kerajaan MADANI yang menekankan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik, peranan IIM perlu diperkasakan dengan lebih jelas.
“Sebagai institusi yang telah lama mendukung prisip integriti, IIM perlu terus memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar kerajaan, khususnya dalam konteks pembaharuan tadbir urus, pencegahan rasuah dan peningkatan akauntabiliti dalam semua sektor,” katanya.
Beliau berkata IIM mampu menjadi pusat rujukan integriti diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa, dan kerajaan akan memastikan sumber daya dan tenaga disediakan untuk memaksimumkan keberkesanan institusi berkenaan.
Selain itu, Fadillah berkata dengan pengalaman IIM selama dua dekad dalam menangani isu integriti, keyakinan terhadap potensi IIM untuk berkembang sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan integriti yang komprehensif, menyediakan modul latihan, penyelidikan dan khidmat nasihat kepada semua pihak memerlukan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua-Ketua Setiausaha, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri.
Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional dianjurkan IIM sebagai agensi penggerak utama kerajaan MADANI dalam pembudayaan integriti dan tatakelola negara.
Bertemakan 'Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi', Sambutan Bulan Integriti Nasional tahun ini mengangkat martabat pertiwi atau tanah air melalui pembaharuan komitmen terhadap pembudayaan integriti, tatakelola serta tadbir urus baik, dalam usaha memastikan Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti tinggi dan bebas rasuah.
Bagi meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pembudayaan integriti, tatakelola dan tadbir urus yang baik di peringkat nasional secara berterusan, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 termasuk Pertandingan Teater Runcit Integriti (25 hingga 27 Okt), Forum Perdana Ehwal Islam (7 Nov).
Selain itu, Khutbah Jumaat Bulan Integriti Nasional (bermula 8 Nov), Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (21 Nov), Malam Apresiasi 2 Dekad IIM (28 Nov), serta pameran IIM bersama sektor awam dan swasta sepanjang bulan ini.
-- BERNAMA