EKONOMI

FUNDING SOCIETIES PEROLEH KEMUDAHAN KREDIT RM436 JUTA BANTU PMKS

05/11/2024 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Funding Societies memperoleh kemudahan kredit ketiga daripada HSBC di bawah Dana Pertumbuhan ASEAN sekali gus meningkatkan kemudahan kreditnya daripada bank tersebut kepada lebih US$100 juta (RM436 juta).

Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbesar di Asia Tenggara dalam satu kenyataan berkata urus niaga tersebut termasuk dua kemudahan kredit tahunan yang diperluaskan sebelum ini, mencerminkan sokongan berterusan HSBC terhadap PMKS melalui platform itu sejak 2022.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo, berkata sokongan berterusan HSBC membolehkan syarikat itu meneroka lebih lanjut pembiayaan hutang berskala untuk pertumbuhan dan keuntungan, memajukan keterangkuman kewangan bagi PKS yang kurang mendapat perkhidmatan bank di rantau ini.

Sementara itu Ketua Korporat dan Perbankan Perniagaan HSBC Singapore, Harish Venkatesan berkata kemudahan kredit ketiga itu membolehkan bank tersebut terus menyokong usaha Funding Societies untuk menyediakan penyelesaian kewangan kepada PMKS.

“Pembiayaan ini akan menyumbang kepada pembinaan asas masyarakat di rantau ASEAN.

“Kami berharap dapat terus menyokong Funding Societies bagi mengembangkan perniagaan mereka serta PKS di rantau ini melalui Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC,” katanya.

Dilancarkan pada Mac 2024, Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC bernilai US$1 bilion itu bertujuan untuk menyokong platform digital berpangkalan di Singapura dalam memacu e-dagang di rantau ini.

Menurut kenyataan itu walaupun Asia-Pasifik mencatatkan pertumbuhan pesat dalam kelas pertengahan serta akses lebih meluas kepada perbankan formal dan persekitaran komersial digital, namun rantau itu masih berdepan jurang akses kredit berjumlah US$2.5 trilion (RM10.9 trilion).

“Mengikut perspektif, 99.9 peratus daripada perusahaan adalah PMKS yang menyumbang antara 35 peratus dan 69 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setiap negara,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Funding Societies telah menyalurkan lebih US$4 bilion (RM17.4 bilion) pembiayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 perniagaan di Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Selain itu, sejak memasuki pasaran pembayaran pada akhir 2022, Funding Societies juga sudah memproses nilai urus niaga kasar (GTV) setiap tahun bernilai US$1.4 bilion (RM6.1 bilion).

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan