AM

NGA SERU SOKONGAN KOMUNITI SEJAGAT TERHADAP PERKONGSIAN MASYARAKAT, AWAM-SWASTA UNTUK BANDAR MAMPAN

05/11/2024 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyeru komuniti sejagat untuk menggalakkan perkongsian antara masyarakat, swasta dan awam sebagai usaha membangunkan bandar dan komuniti yang mampan.

Dalam ucaptama pada Persidangan Perhimpunan Perniagaan Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-12 di Kaherah, Mesir, beliau berkata kualiti hidup yang lebih baik tidak akan dapat dinikmati tanpa penglibatan sepenuhnya daripada sektor swasta. 

“Seperti anda sedia maklum, 70 peratus daripada kekayaan sejagat dimiliki pihak swasta. Tanpa bantuan anda selaku komuniti perniagaan, proses urbanisasi tidak akan dapat dilaksanakan secara mampan,” katanya sambil menambah tatakelola yang baik penting dalam memastikan prinsip 4P (perkongsian awam, swasta dan rakyat) dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Beliau berkata bagi memudahkan perkongsian yang sebenar, penting bagi negara anggota untuk merangka pelan fizikal, yang mengenal pasti dengan jelas peluang untuk pelaburan bersama daripada sektor swasta.

Nga turut menyeru komuniti sejagat untuk mengguna pakai amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai asas dalam pembiayaan dan melaksanakan pelaburan di bandar-bandar.

“Yang lebih penting, saya menyeru institusi kewangan untuk menyediakan pembiayaan dan geran yang membolehkan sektor swasta menggerakkan sumber daya bagi membantu kita mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

 Beliau menekankan bahawa nilai kemanusiaan harus menjadi teras dalam perancangan bandar dan pembangunan mampan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, selain menambah bahawa kemajuan Malaysia dibina atas dasar kerjasama kukuh dengan komuniti perniagaan yang dinamik.

“Secara bersama-sama kami menaik taraf penempatan dan menyediakan perumahan mampu milik serta perkhidmatan asas bagi memastikan tiada siapa yang dipinggirkan,” katanya.

WUF ke-12 menghimpunkan wakil-wakil menteri dari 84 negara, empat ketua negara, serta 1,359 datuk bandar atau wakil mereka, dengan jumlah keseluruhan 28,000 peserta.

Dianjurkan sejak 2001 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), forum berkenaan bertujuan berkongsi strategi antara negara-negara dalam menangani cabaran urbanisasi dan bersama-sama membangunkan penyelesaian untuk pembangunan mampan.

Sementara itu, Nga pada forum berkenaan turut merasmikan Pavilion Malaysia, yang menonjolkan komitmen Malaysia terhadap Nilai Kemanusiaan MADANI kepada masyarakat antarabangsa.

Dalam upacannya, beliau menekankan peranan penting nilai kemanusiaan dalam pembangunan mampan yang mencerminkan aspirasi Malaysia di bawah rangka kerja MADANI.

Dengan lebih 76 peratus daripada penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar, yang dijangka meningkat kepada 80 peratus menjelang 2030, Nga menekankan pentingnya membangunkan bandar yang mencerminkan budaya, kepelbagaian, kreativiti, dan daya ketahanan Malaysia.

Beliau turut menggariskan komitmen kerajaan terhadap perancangan bandar yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim, mengaplikasikan prinsip pembinaan hijau dan memperkukuh dasar perumahan bagi memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan.

“Menerusi inisiatif seperti Program Residensi Rakyat, kami komited untuk menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti, memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat untuk didiami, tanpa mengira latar belakang dan tahap pendapatan mereka,” katanya.

Pavilion Malaysia menampilkan 21 rakan pameran termasuk Kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan universiti terkemuka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan