AM

LEBIH 70 PERATUS PENJAWAT AWAM NEGERI SEMBILAN BERI MAKLUM BALAS SSPA

05/11/2024 06:14 PM

SEREMBAN, 5 Nov (Bernama) -- Lebih 70 peratus penjawat awam di Negeri Sembilan telah memberi maklum balas terhadap sistem SSPA (Skim Saraan Penjawat Awam) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan) Datuk Rozitta Sulaiman berkata secara dasarnya, hampir kesemua penjawat awam di negeri ini menyambut baik dan bersetuju dengan perlaksanaan SSPA ini selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Negeri Sembilan mempunyai lebih 6,000 penjawat awam daripada pelbagai agensi, manakala lebih 400 petugas di bawah SUK negeri. Setakat ini tiada aduan atau bantahan diterima. Borang telah diagihkan dan akan dikembalikan sebelum 30 November ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort dekat sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam perkembangan lain, Rozitta berkata kerajaan negeri termasuk semua agensi pengurusan bencana negeri telah bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada bulan ini dengan persediaan rapi Pusat Permindahan Sementara (PPS) di setiap daerah.

Beliau berkata pusat maklumat telah diaktifkan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil oleh agensi terlibat di negeri ini selain kelengkapan keselamatan bencana juga lengkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan