AM

161 PENJAWAT AWAM DITAULIAH MUNSYI MUDA BAHASA

06/11/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 161 penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi menerima watikah pelantikan dan ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa, hari ini. 

Pentauliahan itu membolehkan mereka memainkan peranan aktif sebagai perujuk bahasa Melayu di organisasi masing-masing bagi memastikan penggunaan bahasa yang tepat dalam aspek komunikasi dan dokumen rasmi. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berharap pertambahan jumlah Munsyi Muda Bahasa itu mampu memperkasakan mutu penggunaan bahasa Melayu di kementerian, jabatan dan agensi, sekali gus menjadi penggerak aktiviti kebahasaan.

"Penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan perlulah menepati ejaan dan tatabahasa yang standard.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam sektor kerajaan sering kali menjadi penanda aras bagi sektor swasta dan pihak di luar negara yang berniat untuk mengamati atau menggunakan bahasa Melayu," katanya dalam ucapannya.

Teks ucapan Wan Ahmad Dahlan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim yang turut merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa Tahun 2023/2024, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini.

Dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menerima pentauliahan berkenaan iaitu Penyunting di Meja Penyuntingan Bahasa Melayu (Perkhidmatan Berita) Hisham Abdul Hamid dan wartawan Hasnah Jusid.

Pada majlis itu, Jackie Mary Fernandis daripada Parlimen Malaysia dipilih sebagai peserta terbaik 2023, Mohamad Haziq Mohd Fauri daripada Jabatan Perdana Menteri (Peserta Terbaik 2024) manakala Zulkifli Mohd Yunus daripada Istana Negara (Peserta Terbaik Keseluruhan).

Mohamad Haziq berkata sebagai penjawat awam, beliau berharap penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul dalam urusan rasmi kerajaan bukan sekadar dalam urusan dokumentasi semata-mata, tetapi juga menjadi pemangkin jati diri serta kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

Seorang lagi penerima, Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Penguasa Bomba Mohd Nazrullah Abdul Aziz berkata kecintaan terhadap bahasa dan sastera mendorong beliau untuk menjadi Munsyi Muda Bahasa.

"Sudah pasti selepas pentauliahan ini, saya akan lebih giat memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul di jabatan, sama ada dalam penulisan formal atau dalam sebarang aktiviti," katanya.

Program Munsyi Muda Bahasa yang dimulakan sejak 2015 dengan kerjasama INTAN dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) menyaksikan penjawat awam mengikuti kursus bahasa Melayu selama lima hari dan perlu melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh DBP serta mengikuti kursus pemantapan sebelum layak ditauliah. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan