AM

PM SELAMAT TIBA DI BEIJING, PERHENTIAN TERAKHIR LAWATAN KERJA KE CHINA

06/11/2024 06:52 PM

Daripada Massita Ahmad

BEIJING, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Beijing, perhentian terakhir beliau selepas Shanghai dalam rangka lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov ini.

Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 6.10 petang waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Beijing Norfarina Mohd Azmee dan Atase Pertahanan Laksamana Pertama Mahadzir Mokhtar.

Turut hadir Pembantu Menteri Luar China Liu Bin dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Kementerian Luar Malaysia, dalam kenyataan pada Ahad, memaklumkan bahawa semasa di Beijing, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People.

Perdana Menteri juga akan menyampaikan ceramah bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order di Universiti Peking dan melawat Pusat Taklimat Eksekutif Huawei.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Pada 2023, nilai dagangan dengan China mencecah RM450.84 bilion (US$98.80 bilion) yang mewakili 17.1 peratus perdagangan Malaysia di peringkat global dan setakat September 2024, nilai dagangan yang dicatat ialah RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).

Pada suku pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (US$252.5 juta).

Ini adalah kunjungan ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada Mac 2023 disusuli lawatan kedua pada September tahun yang sama.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan