DUNIA

LAGI PEMIMPIN DUNIA UCAP TAHNIAH ATAS KEMENANGAN TRUMP, TEKANKAN HARAPAN UNTUK KERJASAMA GLOBAL

07/11/2024 12:05 AM

 KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangan dalam pilihan raya pada Rabu dan melahirkan keyakinan bahawa Amerika Syarikat akan menyokong aspirasi sah rakyat Palestin.

Dalam satu mesej tahniah, Abbas menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Trump bagi mencapai keamanan dan keselamatan di rantau itu sambil menekankan komitmen rakyat Palestin untuk memperjuangkan kebebasan, penentuan nasib sendiri, dan pembentukan negara mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami akan terus berpegang teguh kepada komitmen untuk keamanan, dan kami yakin bahawa Amerika Syarikat di bawah kepimpinan anda akan menyokong aspirasi sah rakyat Palestin,” katanya, menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Sementara itu, Penasihat Ketua Kerajaan Interim Bangladesh,  Muhammad Yunus menyampaikan mesej kepada Trump dalam suratnya bahawa kemenangan itu “mencerminkan bahawa kepimpinan dan visi anda telah disambut baik oleh rakyat” Amerika.

“Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan anda, Amerika Syarikat akan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada negara lain di seluruh dunia.

“Bangladesh dan Amerika Syarikat berkongsi sejarah panjang persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama,” katanya sambil menambah bahawa hubungan itu “terus berkembang dalam pelbagai aspek” semasa penggal pertama Trump.

Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake, mengucapkan tahniah kepada Trump atas “sokongan padu” yang diterima sebagai Presiden ke-47 AS.

“Saya berharap untuk bekerjasama dengan pentadbiran anda dalam merealisasikan objektif bersama hubungan kita yang memanfaatkan rakyat Sri Lanka dan Amerika Syarikat,” katanya.

Calon Republikan Trump, 78, telah mengisytiharkan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 mengatasi calon Demokrat, Kamala Harris.

--BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan