Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus semasa mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini mencerminkan sokongan bank pusat itu terhadap pertumbuhan ekonomi domestik.
Ini juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam menarik pelabur, khususnya pelaburan langsung asing, kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.
“Dengan asas dasar monetari iaitu OPR pada kadar 3.0 peratus termasuk polisi pengembangan fiskal melalui dasar penawaran kerajaan, kedua-duanya mencukupi sebagai penampan kepada pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Ridhuan ketika ditanya mengenai kadar faedah yang berbeza di Asia dan dasar monetari yang agresif di peringkat global menjelaskan paras semasa tiga peratus kekal menarik bagi sektor pembuatan Malaysia, termasuk minyak dan gas, serta mampu merangsang minat pelabur portfolio.
Mengenai inflasi, beliau menegaskan paras OPR semasa adalah mencukupi bagi membendung kadar inflasi negara, yang berada di bawah 2.00 peratus.
“OPR yang dikekalkan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, dan jika OPR dinaikkan, ia boleh menyebabkan pengurangan pelaburan, yang seterusnya akan memberi kesan kepada pasaran buruh,” kata Muhammad Ridhuan.
Beliau juga berkata pasaran buruh negara memerlukan sokongan daripada pelaburan domestik dan dasar monetari adalah penting untuk membina keyakinan pelabur dalam meningkatkan pelaburan atau inventori.
Sementara itu, ahli ekonomi terkemuka, Geoffrey Williams berkata keputusan bagi mengekalkan OPR pada 3.00 peratus adalah dijangka dan ia merupakan keputusan yang tepat.
“Inflasi keseluruhan akan berada sekitar dua peratus untuk tahun ini pada unjuran terendah. Pertumbuhan ekonomi akan berada sekitar lima peratus pada prospek tertinggi dan sistem kewangan adalah mantap,” katanya.
Mengenai ringgit, Williams menekankan ringgit telah mengukuh tetapi tertakluk kepada turun naik berikutan persekitaran global yang berada di luar kawalan penggubal dasar Malaysia.
“Namun begitu, BNM boleh membuat campur tangan dasar selain daripada mengubah kadar faedah bagi menanganinya. Jadi, ekonomi berada dalam keadaan baik dan tidak perlu mengubah dasar monetari untuk masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, OCBC Global Markets Research berkata BNM dijangka mengekalkan kadar dasarnya tidak berubah pada 3.00 peratus dalam 2025.
“Ini bermakna, BNM berkemungkinan kekal berwaspada terhadap tekanan inflasi pusingan kedua,” katanya dalam satu nota hari ini.
OCBC berkata jangkaan BNM untuk prospek ekonomi Malaysia kekal positif, secara amnya konsisten dengan penilaian OCBC.
“Kami meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 2024 serta 2025 masing-masing mencatat 5.0 peratus dan 4.5 peratus,” katanya.
MPC BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus hari ini dengan alasan bahawa ekonomi global terus berkembang di tengah-tengah pasaran buruh yang berdaya tahan dan pemulihan berterusan dalam perdagangan global.
Bank pusat itu menyatakan langkah Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan dan ia menjangkakan eksport akan disokong oleh kitaran teknologi global, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.
Mesyuarat MPC baru-baru ini adalah yang terakhhir buat tahun ini. Semasa mesyuarat tersebut, jadual enam mesyuarat MPC pada 2025 telah diluluskan.
Ia menetapkan mesyuarat akan datang akan berlangsung menjelang 22 Januari, 6 Mac, 8 Mei, 9 Julai, 5 September dan 6 November, mengikut Akta Bank Negara.Malaysia 2009.
-- BERNAMA