PASIR SALAK, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan tiga program khidmat sosial di negeri ini yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup golongan sasar.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk Program Bantuan Ihsan MADANI, Sumbangan MADANI Murid Pendidikan Khas dan B40, serta Kursus Penternakan Ayam Kampung dan Bancuhan Dedak.
“Bantuan yang dihulurkan melalui tiga program berkenaan adalah khusus kepada golongan B40 termasuk masyarakat Orang Asli, murid sekolah serta komuniti di Pasir Salak, Bagan Datuk, Ipoh, Sungai Siput dan beberapa kawasan lagi.
“Dana tersebut disalurkan berdasarkan keperluan dan bertujuan untuk memberikan nilai tambah, memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran, dan tidak diberikan secara semberono,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bantuan Ihsan MADANI di Kampung Orang Asli Redang Punggor, di sini hari ini.
Lebih 500 pemimpin masyarakat serta penduduk sekitar hadir pada program berkenaan.
Azman berkata bantuan sama turut disalurkan kepada negeri lain namun ia bergantung kepada permohonan dan keperluan.
“Perak merupakan lokasi kelima kita sampaikan bantuan. Sebelumnya, bantuan yang sama disalurkan di Kedah, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sumbangan yang disalurkan ini membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa prihatin dan cakna dengan keperluan rakyat dalam pelbagai aspek.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa sumbangan yang diberikan harus digunakan dengan bijak untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
“Rakyat juga perlu berusaha untuk berubah ke arah berdikari dan tidak bersikap pasif dengan hanya bergantung kepada bantuan kebajikan semata-mata,” katanya.
-- BERNAMA